KUALA LUMPUR – Naratif kononnya pilihan raya Datuk Bandar akan menyebabkan kaum-kaum selain Melayu menguasai kawasan bandar khususnya Kuala Lumpur dan pembangunan orang Melayu terbantut disifatkan kolot dan menunjukkan pemikiran yang masih terperangkap di era 1960-an.
Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivarraajh berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan antara 2020-2025, jumlah penduduk Melayu di Wilayah Persekutuan dan bandar-bandar lain adalah antara 41.5 peratus hingga 50 peratus.
Ujarnya berdasarkan data itu, kaum majoriti di bandar-bandar bukan lagi masyarakat bukan Melayu, sekali gus menangkis naratif pilihan raya Datuk Bandar hanya memberi kelebihan kepada bukan Melayu.
Beliau yang secara peribadi menyokong pilihan raya Datuk Bandar menambah, pemimpin politik baharu seharusnya lebih progresif dan berfikir sebagai rakyat Malaysia.
“Tidak salah berjuang untuk etnik sendiri, tetapi biar dengan fakta dan jangan takut kepada bayang-bayang sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Sivarraajh berkata, pilihan raya Datuk Bandar membolehkan seseorang yang mendapat mandat majoriti berkhidmat dengan jujur dan berintegriti, serta memastikan pembangunan yang seimbang di ibu kota.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan berkenaan individu berpengaruh yang dilantik ke jawatan penting negara yang akhirnya terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.
“Di mana pemimpin-pemimpin kaum yang mahu mempertahankan pelantikan dan pemilihan berasaskan kaum dan ras, bukannya atas kebolehan serta integriti?” katanya.
Ujar beliau, Malaysia harus bergerak maju dengan membina naratif yang lebih sihat, bukannya masih terperangkap dengan retorik agama dan kaum yang memundurkan negara.
Katanya, pemimpin yang baik dan terbukti berdasarkan kemampuan, intergriti serta takut kepada tuhan perlu diberi peluang, bukannya melantik seseorang atas keistimewaan dilahirkan sebagai kaum tertentu.
“Mesej ini bukan untuk kaum-kaum tertentu sahaja, tetapi untuk semua termasuk kawan-kawan politik daripada masyarakat India,” katanya. – MalaysiaGazette
















