Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyindir keras budaya melabel dan serangan peribadi terhadap dirinya yang disifatkan sebagai taktik lapuk golongan ahli politik yang ketandusan hujah serta fakta.

Menurut Rafizi, gelaran Raja Formula yang sebelum ini dijadikan senjata politik kini berevolusi pula kepada Raja Bitter namun hakikatnya berpunca daripada kegagalan pihak tertentu menjawab isu secara berfakta.

“Saya sudah masak kena kecam macam-macam. Raja Formula pun pernah sekarang Raja Bitter pulak. Masa saya dedahkan skandal zaman UMNO/BN jadi kerajaan dulu, oleh kerana mereka tidak ada jawapan berfakta untuk patahkan fakta-fakta yang dikemukakan, mereka serang peribadi.

“Dari situlah, pendekatannya ialah serang peribadi. Apa-apa yang saya utarakan, mereka tidak jawab hujah atau fakta tetapi hanya ulang serangan Raja Formula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kaedah menyerang peribadi digunakan sejak beliau membongkar pelbagai skandal ketika era UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila pihak terlibat gagal mematahkan fakta yang dikemukakan.

Rafizi berkata, ironi yang lebih ketara ialah taktik sama kini digunakan oleh pihak dalam PKR sendiri termasuk golongan yang disifatkannya sebagai ceplos (tentera media siber) setiap kali pandangannya tidak selari dengan kepimpinan parti.

“Bila yang saya utarakan itu fakta atau hujah yang mereka tidak boleh sangkal, mereka serang peribadi. Cuma selain serangan Raja Formula, mereka tambah satu lagi – Raja Bitter, kononnya saya berdendam, sakit hati dan kecewa. Bitter la kononnya.

“Kaedah serang peribadi ini tidak berkesan untuk jangka masa panjang terutamanya dengan pengundi atas pagar, lebih-lebih lagi dengan pengundi Gen Z,” katanya.

Menurut beliau, strategi sedemikian bukan sahaja gagal malah memakan diri apabila berdepan pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan kesetiaan parti dan sedar bahawa undi mereka adalah kuasa sebenar.

Rafizi turut menyindir pendekatan jentera penerangan kerajaan yang menurutnya menganggap rakyat boleh dikawal seperti ahli parti sedangkan realitinya pengundi khususnya generasi muda lebih kritikal dan bebas membuat keputusan.

“Bagi saya, kaedah paling baik dengan pengundi atas pagar dan Gen Z ialah memberikan pencerahan yang disertakan dengan hujah yang bersandarkan fakta,” katanya.

Dalam nada sinis, beliau turut ‘memberi tip’ kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) supaya berhenti bergantung kepada label, troll dan akaun palsu yang menurutnya terbukti gagal sejak lebih sedekad lalu.

“Satu-satunya kaedah yang berjaya ialah dengan memberi hujah dan fakta yang boleh mematahkan hujah lawan,” tegas Rafizi sambil menyindir bahawa selagi politik ‘ceplos’ dijadikan sandaran, selagi itulah persepsi rakyat terus bocor.

Semalam, bekas Menteri Ekonomi itu menegaskan, beliau tidak mempunyai obsesi untuk menjadi perdana menteri, satu ketaksuban yang menurutnya telah membentuk perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi membuat perbandingan antara dirinya dan Anwar apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap kemungkinan tindakan disiplin yang bakal diambil oleh PKR terhadapnya serta beberapa ahli parti lain yang sehaluan dengannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast