KUALA LUMPUR – Sebarang cadangan membawa masuk atau menganjurkan pesta budaya Songkran sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah bercanggah dengan asas kenegaraan, sensitiviti agama serta identiti budaya Melayu-Islam yang menjadi tunjang negara.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor berkata, Malaysia mempunyai asas kenegaraan yang jelas berpaksikan Perlembagaan Persekutuan di mana Islam dimaktubkan sebagai agama Persekutuan dan budaya Melayu menjadi teras pembentukan negara.
Menurut beliau, Songkran merupakan perayaan tradisi luar yang berakar daripada ritual keagamaan dan amalan budaya asing yang tidak sejajar dengan nilai Melayu-Islam serta tidak wajar diangkat sebagai acara pelancongan nasional.
“Tahun Melawat Malaysia seharusnya menjadi wadah untuk memartabatkan warisan tempatan, bukannya membuka ruang kepada normalisasi budaya luar yang boleh menghakis identiti negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Perkasa turut mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam mempromosikan budaya asing berbanding warisan pribumi yang masih terpinggir, termasuk seni, adat, permainan tradisional serta warisan Islam yang sepatutnya dijadikan teras utama Tahun Melawat Malaysia 2026.
Azrol turut menegaskan bahawa, aspek sensitiviti agama perlu diberi perhatian serius memandangkan Songkran bukan sekadar pesta air, sebaliknya mengandungi elemen kepercayaan serta simbolik keagamaan tertentu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan liberal melampau sehingga menggadaikan prinsip dan sensitiviti majoriti rakyat negara ini,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penganjuran pesta air berskala besar adalah tidak bertanggungjawab dalam keadaan negara berdepan isu bekalan air, kemarau serta keperluan mendesak untuk penjimatan sumber.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya membatalkan cadangan penganjuran pesta Songkran berkenaan dengan menegaskan Malaysia tidak boleh hilang arah dan identiti semata-mata atas nama pelancongan.
“Budaya Melayu-Islam adalah tunjang negara. Jangan gadaikan maruah dan jati diri sebuah negara bernama Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















