KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan kajian berhubung pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai tidak neutral sebaliknya satu laluan terancang untuk melaksanakan agenda politik DAP yang sekian lama memperjuangkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Afnan, walaupun kajian itu dijalankan oleh golongan akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), hakikatnya kuasa menentukan dasar tetap berada di tangan menteri yang menerajui kementerian berkaitan.
“Kajian dibuat oleh orang akademik. Tapi yang buat dasar adalah menteri. Menteri daripada DAP,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau menegaskan, latar belakang akademik kajian tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup realiti bahawa DAP merupakan parti yang paling konsisten memperjuangkan pilihan raya PBT sejak sekian lama.
“DAP (yang) memperjuangkan pilihan raya PBT,” katanya lagi.
Afnan turut berkata, dalam konteks Kuala Lumpur, struktur PBT yang diketuai oleh Datuk Bandar menjadikan cadangan pemilihan Datuk Bandar secara langsung sebagai satu bentuk pilihan raya PBT secara terselindung.
“Di KL, PBT diketuai oleh Datuk Bandar. Pilihan raya Datuk Bandar seolah-olah seperti pilihan raya PBT,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kajian tersebut bersifat teknikal atau akademik semata-mata sebaliknya melihatnya sebagai sebahagian daripada pelaksanaan agenda politik DAP.
“Maka, kajian untuk Pilihan raya Datuk Bandar adalah kajian untuk melaksanakan agenda DAP yang diperjuangkan mereka selama ini,” ujarnya.
Afnan turut mengingatkan isu demografi dan realiti politik negara tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan mengenai pilihan raya PBT, khususnya perbezaan ketara antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Semua tahu siapa yang majoriti di bandar, siapa yang majoriti di luar bandar,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar atau pilihan raya PBT bukan sahaja isu tadbir urus, tetapi berpotensi membawa implikasi serius terhadap keharmonian masyarakat majmuk.
Afnan menegaskan, atas dasar itu, PN menolak sebarang usaha untuk memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang disifatkannya berisiko mencetuskan perpecahan dan ketegangan kaum.
“Pilihan raya Datuk Bandar atau pilihan raya PBT akan menyebabkan jurang perbezaan kaum makin melebar. Sebab itu kita bantah!” tegasnya.
Isu cadangan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur terus mencetuskan perdebatan dengan pembangkang mendakwa ia sarat agenda politik, manakala kerajaan menyatakan kajian tersebut masih di peringkat awal dan belum menjadi dasar rasmi. – MalaysiaGazette
















