Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada pada peringkat pengumpulan data bagi membangunkan mekanisme pembayaran rawatan berasaskan data menerusi pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, DRG merupakan sistem klasifikasi dan penyeragaman kes perubatan berdasarkan diagnosis, prosedur rawatan dan tahap keterukan penyakit.

Menurutnya, sistem itu bertujuan memastikan pengkelasan kes serta bayaran rawatan dibuat secara adil, telus dan berasaskan keperluan klinikal sebenar pesakit.

“Pada peringkat awal, pelaksanaan DRG memberi tumpuan kepada pengumpulan data klinikal dan kewangan bagi membangunkan logik atau algoritma sistem, selain menetapkan kos rawatan yang munasabah,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (Ampang-PH) yang meminta status terkini pelaksanaan DRG dalam industri kesihatan swasta.

Katanya, ketika ini, pelaksanaan DRG berada pada fasa pengumpulan data minimum di samping latihan serta pengupayaan hospital swasta bagi memastikan kesediaan dari segi teknikal dan operasi.

“Sebagai contoh, bagi pembedahan apendiks dengan tahap keterukan yang sama, kadar bayaran akan ditetapkan mengikut kumpulan DRG supaya tidak berlaku perbezaan caj yang tidak munasabah antara hospital,” ujarnya.

Rodziah turut membangkitkan langkah kawal selia dan pemantauan bagi memastikan pengendali insurans atau takaful tidak campur tangan dalam keputusan perubatan pakar dan doktor, selain mengelakkan tuntutan melampau oleh hospital swasta.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, penggunaan DRG di sektor swasta merupakan sebahagian daripada inisiatif rentas agensi melalui pendekatan seluruh negara di bawah strategi RESET yang dipantau Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta.

Menurut beliau, setakat ini, 80 daripada 104 hospital swasta yang mendaftar telah menyertai latihan menerusi 23 sesi yang dianjurkan sekali gus menunjukkan tahap penerimaan dan komitmen yang baik terhadap pelaksanaan DRG.

“Penekanan diberikan kepada penyeragaman data klinikal dan kewangan sebagai asas kepada pelaksanaan DRG yang berkesan dan mampan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan DRG dijangka menjadi pemangkin kepada peralihan sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai, selain menggalakkan kecekapan, ketelusan kos dan penggunaan sumber yang lebih berhemah.

“Langkah ini juga penting bagi memastikan hospital swasta tidak membuat tuntutan secara melampau,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menegaskan KKM memandang serius isu campur tangan pengendali insurans, takaful dan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) dalam pengurusan rawatan.

Menurut beliau, sebarang tindakan yang boleh mempengaruhi keputusan klinikal pengamal perubatan akan diberi perhatian tegas oleh kementerian.

“Sebarang perbuatan yang menggugat kebebasan pengamal perubatan dalam merawat pesakit boleh ditafsirkan sebagai tidak selaras dengan peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586),” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast