Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memasukkan bendera Angkatan Tentera Malaysia sebagai simbolik memulakan tugas pada Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 di di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Datuk Malek Razak Sulaiman mengaku tindakan membekukan sementara perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjejaskan operasi organisasi pertahanan negara itu.

Jelasnya, kesan yang paling ketara disebabkan pembekuan itu adalah kos operasi rutin harian ATM.

Sehubungan itu, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa yang terdekat untuk memohon supaya perolehan perbelanjaan kos bagi operasi rutin ATM tidak dibekukan.

“Kesannya adalah perjalanan operasi ATM yang menjejaskan rutin terutama tugas operasi seperti makan anggota, minyak, pergerakan, kapal terbang yang perlu diguna. Kalau perolehan itu dibekukan maka kita tidak akan dapat jalankan sebab semuanya perlu dibayar.

“Tapi saya difahamkan, saya dapat pesanan daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan (Ketua Setiausaha Kementerian) KSU bahawa perkara ini sedang di peringkat akhir, Insya-Allah dalam seminggu ini kita akan bentang dan merayu kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan untuk sekurang-kurangnya lepaskan perolehan untuk kos perbelanjaan operasi.

“Jika tidak kesiapsiagaan ATM akan turun. Saya percaya PM prihatin beliau akan lepaskan,” katanya ketika sidang media di hari pertama memulakan tugasnya di Wisma Pertahanan hari ini.

Baru-baru ini, Anwar berkata, semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.

Sebagai rekod, sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.

Ia bagi membanteras ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan wibawa institusi pertahanan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast