JOHOR BAHRU – Dua mangsa dewasa yang dipercayai dibunuh dan dibakar bersama-sama empat beradik di sebuah rumah dalam kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini awal bulan lalu disahkan mempunyai hubungan sebagai rakan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mempunyai pertalian persahabatan namun butiran lanjut mengenai motif kejadian masih belum didedahkan kerana kes tersebut kini berada dalam proses perbicaraan.
“Setakat ini, tidak ada tangkapan lain. Hanya dua suspek yang telah ditahan dan mendapat arahan untuk dituduh. Tiada tangkapan baharu setakat ini.
“Motif saya tidak akan dedahkan, biar didedahkan di mahkamah nanti. Hubungan dua mangsa sebagai rakan, mereka kawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor antara Deputi Komisioner Polis Abdul Latif Mehat dan Asisten Komisioner Polis Kanan Hoo Chuan Huat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, polis sedang melengkapkan beberapa laporan penting termasuk laporan kimia, perubatan dan forensik bagi membantu siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan.
Beliau memaklumkan, laporan forensik penuh dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang dan hasilnya akan menjadi antara bukti penting dalam prosiding mahkamah.
Hari ini R Utes, 36, dan R Arasan, 32, diakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki iaitu merupakan seorang daripada enam rangka manusia yang ditemui dibunuh dan dibakar di ladang kelapa sawit tersebut.
Dua beradik itu didakwa menyebabkan kematian V Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, pada 15 September 2025.
Media semalam melaporkan, Ab Rahaman berkata, suami kepada seorang daripada enam mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 28 tahun.
Beliau dilaporkan berkata, polis masih menyiasat tempoh masa semua mangsa ini dilaporkan hilang, namun dipercayai sudha meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.
Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah. – MalaysiaGazette
















