KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin bahawa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai DAP tidak dilihat sebagai sesuatu yang menyalahi sistem demokrasi negara.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, realiti politik sedemikian mencerminkan kebebasan berpersatuan yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sekali gus membolehkan individu memilih parti yang dianggap lebih menguntungkan kedudukan mereka.
Menurut beliau, senario itu bukan perkara luar biasa kerana ahli dan pemimpin politik lazimnya akan mencari ruang perlindungan demi menjaga kepentingan sendiri termasuk dari aspek kebajikan, jawatan dan kuasa khususnya dalam parti yang berpengaruh atau berada dalam kerajaan.
“Ideologi dan perjuangan hanya sekadar kenderaan yang membawa ahli dan pemimpin untuk mencapai matlamat mereka, namun sudah semestinya imej atau maruah akan sedikit tercalar dengan tindakan menyeberang ke parti seteru untuk menjadi ahli atau menjawat jawatan penting dalam parti.
“Kita lihat juga keadaan sama berlaku kepada (Datuk Seri) Tengku Zafrul apabila beliau dari asalnya ahli parti UMNO menjadi menteri di bawah kerajaan Tan Sri Muhyidin Yasin, kemudian masuk ke PKR dan dilantik sebagai ahli Biro Politik PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Najmi mendakwa terdapat pimpinan Bersatu yang mahu menyertai DAP dek kerana kemelut politik yang menghambat parti berkenaan manakala Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menegaskan, usaha menarik ahli pelbagai kaum tidak dilakukan secara terburu-buru atau menggadaikan prinsip.
Syahredzan berkata, kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik dan cermat, malah parti itu tidak perlu ‘mengimport’ individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan ahli.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, kemarahan politik susulan tindakan menyeberang parti lazimnya hanya bersifat sementara sebelum reda apabila landskap politik kembali stabil.
Dalam konteks DAP, beliau melihat perkembangan tersebut sebagai usaha memperkukuh imej serta kedudukan parti itu dalam menarik sokongan orang Melayu dan menepis persepsi lama berkaitan dominasi kaum.
“Lebih ramai individu dalam kalangan ahli biasa dan pemimpin yang menyertai DAP maka imej yang menyatakan DAP parti didominasi kaum Cina dan rasis semakin cair.
“Malah DAP memberi ruang kepada yang terpilih menjadi calon ADUN, Parlimen serta membuka ruang kepada pemimlin Melayu untuk bertanding seterusnya menang menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP,” katanya lagi.
Beliau turut percaya kemasukan pemimpin Melayu ke dalam DAP semakin dinormalisasi dalam budaya politik negara, khususnya apabila mereka diketengahkan di barisan hadapan parti dan bersaing dalam pilihan raya.
“Apabila wajah-wajah pemimpin Melayu diletakkan di barisan hadapan pemimpin parti dan bertarung di Parlimen, maka ini menjadi tarikan kepada lebih ramai individu dan pemimpin yang melihat keterbukaan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pimpinan Bersatu Selangor jumpa saya, mahu sertai DAP – Najmi
















