KUALA LUMPUR – Hukum menyebut `Alhamdulillah’ bagi orang bukan Islam adalah harus selagi ia tidak berniat penghinaan atau istihza’.
Perkara itu dijelaskan Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berdasarkan beberapa dalil dan hujah.
Antaranya, kata beliau, berdasarkan firman Allah SWT menerusi surah Luqman ayat 25 yang menunjukkan menyebut nama Allah bukan khusus kepada orang Islam, bahkan telah berlaku sejak zaman musyrikin Mekah.
Sementara itu, tambahnya, berdasarkan kaedah fiqh pula, asal hukum bagi perkataan adalah harus, sehingga ada dalil yang mengharamkannya.
Malah, kata beliau, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa zikir dan pujian kepada Allah SWT bukan syarat sahnya Islam, dan tidak semua lafaz pujian membawa implikasi akidah (al-Majmū‘ Sharh al-Muhadhdhab).
“Ini menunjukkan pujian kepada Allah tidak secara automatik menjadikan seseorang Muslim, dan tidak dilarang bagi bukan Islam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Izhar, berdasarkan fatwa kontemporari pula, Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan bahawa ucapan pujian kepada Allah oleh bukan Muslim adalah dibenarkan, selagi tidak digunakan untuk mempermainkan agama.
Selain itu, tambah beliau, Yusuf al-Qaradawi dalam buku Fi Fiqh al-Aqalliyyāt menegaskan: “Alhamdulillah” adalah lafaz bahasa Arab.
“Tidak disyaratkan Islam untuk mengucapkannya dan yang diambil kira ialah niat yang menyebutnya,” katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, hukum harus itu akan berubah kepada haram sekiranya kalimah Alhamdulillah digunakan untuk menghina atau mengejek Islam.
Selain itu, katanya, ia juga akan menjadi haram sekiranya diucapkan dalam konteks ritual ibadah Islam dengan niat mempermainkan, atau disertai niat kufur atau istihza’ menghina Islam.
Semalam, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam termasuk Alhamdulillah pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam. – MalaysiaGazette
















