LONDON – Pemain antarabangsa Perancis, N’Golo Kante menandatangani kontrak bersama Fenerbahce dari kelab Arab Saudi, Al-Ittihad, kata kelab Turkiye itu.
Tempoh kontrak Kante tidak didedahkan namun perpindahan itu memberi peluang kepada pemain tengah itu untuk mengukuhkan tempatnya dalam skuad Perancis ke Piala Dunia 2026.
Pemenang Piala Dunia itu yang akan berusia 35 tahun bulan depan sebelum ini dijangka berpindah ke Istanbul namun perpindahan itu dilaporkan gagal akibat kesilapan pentadbiran.
Namun ia berjaya direalisasi kali ini hasil sokongan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berada di Arab Saudi semalam apabila melakukan lawatan pertamanya ke negara itu dalam tempoh lebih dua tahun.
“Kelab kami telah berjaya melengkapkan perpindahan N’Golo Kante iaitu satu figura terkemuka dalam bola sepak dunia.
“Bagi pihak saya dan kelab, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden kami, Recep Tayyip Erdogan atas sokongan besar beliau dalam memastikan proses ini berakhir dengan positif sekali gus menyumbang kepada pembangunan Fenerbahce dan bola sepak Turki,” kata Presiden Fenerbahce, Sadettin Saran.
Kante sebelum ini pernah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Leicester pada 2016 dan Chelsea pada 2017. – Agensi
















