Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

KUALA LUMPUR – Penempatan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Kementerian Sumber Manusia tidak akan menjejaskan kepentingan, kebajikan atau pelaksanaan agenda pembangunan masyarakat India.

Menurut menterinya, Datuk Seri R Ramanan, keputusan menempatkan MITRA di bawah kementeriannya dibuat oleh Jemaah Menteri pada 14 Januari lalu sebagai langkah penstrukturan semula pentadbiran yang lebih tersusun dan berkesan.

Kata beliau, penempatan itu tidak mengubah mandat asal MITRA sebagai agensi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

“Langkah ini bukan melemahkan peranan MITRA, sebaliknya mengukuhkan pelaksanaannya melalui penyelarasan yang lebih baik dalam kerangka pembangunan sumber manusia negara,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Kalam Salan (PH-Sabak Bernam) yang meminta jaminan kerajaan bahawa beban tugas sedia ada di kementerian itu tidak akan menjejaskan agenda berkaitan kaum India.

Ramanan berkata, penempatan MITRA di bawah kementeriannya membolehkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program dilakukan secara lebih sistematik serta selaras dengan dasar kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial.

“Ia juga akan memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan peruntukan serta program yang dilaksanakan,” ujarnya,

Jelasnya lagi, Perdana Menteri turut berpandangan langkah itu mampu menyepadukan agenda pembangunan masyarakat India dalam pelan pembangunan tenaga kerja negara secara menyeluruh.

Beliau memberi jaminan bahawa fokus utama MITRA terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat India akan terus dikekalkan walaupun berada di bawah kementeriannya.

“Tiada perubahan terhadap matlamat asal MITRA. Kerjasama rentas agensi dan pemantauan bersepadu akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Ramanan berkata, kementeriannya komited memastikan semua program MITRA terus memberi manfaat kepada masyarakat India secara inklusif dan berterusan, selaras dengan aspirasi kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast