Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Aktiviti judi online dan pengedaran dadah sehingga ke kampung-kampung kecil di Sarawak yang semakin berleluasa tidak mungkin berlaku secara berterusan dan terbuka tanpa wujudnya `perlindungan’ daripada orang dalam.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW),  Jais Abdul Karim menegaskan, persoalan sebenar dalam isu tersebut bukan sekadar siapa yang ditangkap, tetapi pihak mana yang melindungi kegiatan haram terbabit sejak bertahun-tahun lamanya.

Dakwan beliau, kedai yang beroperasi 24 jam, bertopengkan kedai runcit atau kedai kopi, serta hidup bermewah secara terang-terangan adalah petunjuk jelas wujudnya kegagalan penguatkuasaan dan kemungkinan terdapat pihak yang bersekongkol.

“MCW mengambil maklum ketegasan Kerajaan Negeri Sarawak untuk memerangi rasuah melalui penubuhan Ombudsman Negeri.

“Namun, Ombudsman tidak boleh menjadi sekadar simbol kosmetik. Ia mesti diberikan kuasa sebenar, kebebasan siasatan, akses kepada maklumat penguatkuasaan, serta perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblowers),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah menegaskan, pihaknya kini menumpukan usaha untuk menyekat judi dalam talian termasuk bagi mencari kaedah yang dapat menghalang akses kepada aktiviti berkenaan.

Mohamad Zainal berkata, beliau sendiri akan turun padang untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat premis judi dalam talian di sekitar Kuching, Sarawak yang disyaki menjadi tumpuan.

Sementara itu, Jais berkata, kes terbaharu melibatkan tangkapan pegawai penguat kuasa atas dakwaan menerima rasuah bersabit aktiviti tersebut membuktikan masalah itu bukan sekadar khabar angin, tetapi realiti yang merosakkan kepercayaan rakyat.

Tegas beliau, jika tindakan hanya tertumpu kepada `ikan bilis’ dan bukan rangkaian perlindungan, maka kitaran tersebut akan terus berulang.

Sehubungan itu, MCW menuntut supaya satu siasatan bebas dan menyeluruh terhadap rangkaian perlindungan judi online dan pengedaran dadah di Sarawak tersebut ditubuhkan segera.

Dalam masa sama, ujarnya, audit integriti berkala terhadap balai dan unit penguatkuasaan berisiko tinggi perlu dijalankan, manakala pemberi maklumat dipastikan mendapat perlindungan menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast