L. Manickam.

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Datuk L. Manickam berharap Pas tidak bersama-sama dengan pihak yang menganjurkan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram.

Beliau turut berharap Pas tidak memberi galakan atau menyokong gerakan tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, rakyat sedang mengharapkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan alternatif atau kerajaan menunggu, justeru tidak sepatutnya terlibat dalam gerakan sedemikian.

“Kami dari Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) hendakkan slogan “Pas for All” dipraktikkan pada waktu ini.

“Pas dan PN adalah “Government in Waiting“. Kita parti politik dan bukan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

“Peranan kita sangat berbeza dengan NGO. Jangan tersepit,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 141 NGO dijangka menyertai Himpunan Anti Rumah Anutan Haram berhampiran Kompleks Beli-Belah Sogo, di sini esok.

Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth mengesahkan, polis telah dimaklumkan tentang perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, Manickam turut menyifatkan nama gerakan tersebut sendiri secara jelas sudah menyentuh mengenai isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan hak kumpulan berkenaan untuk membuat takrifan sesuatu itu sebagai `anutan haram’.

“Bukankah ia sesuatu yg menyakitkan para penganut seperti kami.

“Tempat ibadat yang tidak berdaftar serta dibina tanpa kebenaran bukan bermaksud mereka sedang mengamalkan anutan haram. Mereka tidak terpesong, mereka tidak sesat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan, negara ini mempunyai undang-undang, justeru sebarang pertikaian yang tercetus perlu diambil tindakan mengikut lunas-lunas perundangan.

“Marilah kita sama-sama meraikan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Ia adalah aset dan khazanah negara kita yang tercinta ini.

“Mari kita pelihara keharmonian di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast