KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Wilayah Persekutuan menggesa Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dirancang diadakan di ibu negara esok, tidak diteruskan.
DHPP Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan, himpunan itu serta poster mengenainya yang tersebar di dalam media sosial telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Lebih-lebih lagi, katanya, dalam kalangan mereka yang mendambakan keamanan, perpaduan serta keharmonian negara yang telah dibina bersama sejak sekian lama.
Tambahnya, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara majmuk yang hidup dalam suasana aman, saling menghormati antara kaum dan agama.
Tradisi perpaduan itu, ujarnya, bukan sesuatu yang terbina dalam sehari, tetapi hasil usaha dan toleransi generasi terdahulu yang mengutamakan kasih sayang, persefahaman dan semangat kebangsaan.
“Kami memahami bahawa sebarang pencerobohan tanah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan negara mempunyai saluran serta peruntukan undang-undang yang jelas untuk menanganinya.
“Justeru, pendekatan terbaik adalah melalui proses perundangan dan pihak berkuasa yang berkaitan, bukan melalui tindakan yang berpotensi membangkitkan kemarahan, kebencian atau sentimen balas dendam dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, apa yang lebih membimbangkan, media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai komen berunsur kebencian, serangan terhadap kaum dan agama, serta naratif yang boleh merosakkan keharmonian rakyat.
Ujarnya, keadaan itu sangat merisaukan kerana ia boleh mencetuskan perkara-perkara yang tidak diingini.
Jelasnya, atas dasar tanggungjawab terhadap keselamatan awam, DHPP Wilayah Persekutuan turut membuat laporan polis sebagai tanda bantahan dan keprihatinan terhadap penganjuran himpunan tersebut.
“Kami melihat potensi himpunan ini untuk mencetuskan ketegangan kaum serta menjejaskan keselamatan rakyat, termasuk anak-anak dan keluarga kita.
“Kami juga mendapati pihak penganjur gagal menjelaskan objektif sebenar himpunan ini kepada masyarakat, tiada garis panduan jelas, serta tiada pelan tindakan selepas himpunan.
“Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham dan membuka ruang kepada provokasi,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, DHPP Wilayah Persekutuan turut menyeru pihak berkuasa menilai perkara itu dengan penuh tanggungjawab, dengan meletakkan kepentingan keamanan negara, keselamatan rakyat dan perpaduan nasional sebagai keutamaan utama sebelum membenarkan sebarang bentuk perhimpunan.
“Kami juga melahirkan rasa kecewa apabila melihat masih kurang keprihatinan daripada sebahagian pemimpin kerajaan dan parti politik terhadap isu keselamatan serta keharmonian negara dalam perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















