Mohammad Shatar (tengah) bersama-sama warga MQA selepas menyampaikan amanatnya di Mercu MQA.

SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melangkah ke fasa baharu pembangunan organisasi menerusi pengenalan agenda MQA 3.0 yang menekankan peranan agensi itu sebagai peneraju kualiti dalam landskap pendidikan tinggi negara yang semakin kompleks dan dinamik.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, transformasi itu menandakan peralihan daripada peranan tradisional sebagai pengawal kualiti kepada pemimpin kualiti yang membentuk hala tuju sistem pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata, evolusi MQA bermula pada 1997 melalui penubuhan Lembaga Akreditasi Negara (LAN), diikuti fasa MQA 2.0 pada 2007 yang menyatukan sistem dan membina kepercayaan, sebelum kini memasuki era MQA 3.0 yang berfokus kepada kepimpinan kualiti dan nilai.

“Pendekatan kerja berasaskan pematuhan semata-mata perlu digantikan dengan budaya kerja yang bermakna, berintegriti serta berorientasikan impak jangka panjang kepada sistem pendidikan tinggi,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPE 2026 di Mercu MQA, di sini, hari ini.

Dalam konteks dasar nasional, Mohammad Shatar berkata, pelaksanaan MQA 3.0 selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada tadbir urus lebih tangkas, kemenjadian siswa serta peranan akademia sebagai pembina bangsa.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pengenalan Academic Bank Credits (ABC) sebagai depositori digital berpusat yang membolehkan pelajar mengumpul, menyimpan dan menebus kredit pembelajaran secara fleksibel merentasi institusi, mod dan tempoh pengajian.

“Melalui ABC, pelajar diberikan pemilikan penuh terhadap aset kredit pembelajaran mereka, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dan mobiliti pendidikan yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan reformasi tadbir urus seperti mana yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dengan menegaskan bahawa institusi abad ke-21 tidak boleh terus diurus menggunakan pendekatan abad ke-20, sambil menyifatkan kecekapan sebagai satu bentuk integriti dalam perkhidmatan awam.

Katanya, prinsip ‘speed, excellence and quality’ perlu diterapkan dalam setiap gerak kerja, disokong budaya kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi bagi menangani isu tatakelola secara berkesan.

“Sebagai panduan, MQA turut memperkenalkan Pelan Strategik MQA 2026–2030 yang merangkumi empat teras utama iaitu ekosistem pendidikan fleksibel masa hadapan, jaminan kualiti mampan, penyampaian perkhidmatan berasaskan kemampanan sumber serta pengukuhan peranan sebagai rujukan antarabangsa.

“Pelan berkenaan turut disokong nilai teras GIFT yang menekankan globalisasi, inovasi, fleksibiliti dan telus (ketelusan) dalam memastikan sistem jaminan kualiti negara kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, dalam usaha membina organisasi berprestasi tinggi pula, MQA turut memberi penekanan kepada pembangunan warga melalui inisiatif berteraskan HATI merangkumi kesejahteraan holistik, apresiasi, tumbuh (pembangunan bakat) serta inspirasi (pembinaan identiti).

Katanya, nilai HATI yang diperkukuh dengan prinsip HAJI iaitu amanah, jujur dan ikhlas perlu menjadi asas budaya kerja warga MQA dalam memastikan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi terus dipelihara.

“Transformasi MQA 3.0 bukan sekadar membina sistem dan strategi, tetapi mesti bermula dengan hati dan nilai, kerana di situlah letaknya kekuatan sebenar sebuah institusi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast