KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 premis di sekitar Cheras Business Centre dan Taman Seri Bantera dikenakan 27 kompaun selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan kebersihan dan pengendalian makanan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kompaun dikeluarkan menerusi Operasi Gempur Gelap (OGG) yang dijalankan semalam.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pengendali makanan tidak menghadiri Kursus Asas Pengendali Makanan, perangkap minyak tidak diselenggara atau tidak dipasang, keadaan dapur yang kotor dan basah.
“Selain itu, kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan penyimpanan makanan tidak mematuhi paras ditetapkan, menjalankan perniagaan tanpa lesen DBKL, menjalankan aktiviti perniagaan di lorong belakang premis serta kehadiran lipas di kawasan penyimpanan makanan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut DBKL, operasi tersebut dilaksanakan bagi memantau tahap kebersihan serta pematuhan premis makanan terhadap peraturan yang ditetapkan.
“DBKL akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa terpelihara demi kesihatan dan keselamatan warga kota,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















