Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan bercakap ketika sidang media berkenaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan dalam siri operasi khas bermula 30 Januari hingga 3 Februari melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM208.25 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, menerusi Operasi (Op) Apiocera, Op Diogma dan Op Allograpta itu, pihaknya berjaya menahan 13 individu termasuk warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama, keldai dadah serta penghantar (transporter) bagi sindiket berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, rampasan terbesar dilakukan dalam ‘Op Apiocera’ ke atas sebuah rumah teres di Kepong di sini, serta satu unit kondominium di Subang Jaya, Selangor yang dijadikan stor penyimpanan dadah sintetik pada 31 Januari hingga 2 Februari lalu dengan rampasan bernilai RM180 juta.

Hussein berkata, ketua sindiket dan kekasihnya yang merupakan warganegara asing turut ditahan di rumah berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas dadah bernilai RM13.25 juta, bermula dengan tangkapan dua lelaki di Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah yang menaiki kereta jenis Myvi.

Antara wajah suspek dan kenderaan yang disita ketika sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkenaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 FEBRUARI 2026

“Susulan daripada tangkapan tersebut satu pemeriksaan telah dibuat ke atas kereta jenis Honda HRV di tempat letak kereta sekitar Kuchai Lama, Brickfields, menemui 255 bungkusan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 265 Kg,” katanya ketika sidang media di IPK KL, hari ini.

Menurutnya, sindiket tersebut menggunakan kereta sewa dan meletakkannya di kawasan tertentu bagi memudahkan ahli sindiket lain mengambil bekalan tanpa perlu bersemuka.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan rampasan dadah pada sidang media kejayaan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dari Kelantan ke Lembah Klang melibatkan jumlah RM208 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 06 FEBRUARI 2026.

Sementara itu, beliau memaklumkan satu lagi sindiket yang menggunakan modus operandi  warga asing sebagai keldai untuk membawa bekalan dadah ke United Kingdom (UK) dilumpuhkan dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1.

“Enam suspek termasuk ketua sindiket ditahan berasingan iaitu tiga orang suspek ditahan di KLIA1, dua orang ditahan di sebuah hotel sekitar Taman Equine dan seorang lagi ditahan di sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang,” tambahnya.

Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan bagi sindiket itu melibatkan RM15 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast