KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal maut selepas terlibat dengan kemalangan melibatkan treler di Jalan Kuala Lumpur menghala Ipoh berhampiran Taman Tasik Teratai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Ibrahim Husin berkata, ketika kejadian pukul 9.55 malam itu penunggang motosikal yang berusia 25 tahun terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar treler yang dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Kuantan menuju ke Kedah.
“Akibat dari kemalangan tersebut penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu.
“Manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ibrahim meminta orang ramai yang mempunyai makluman berkenaan kemalangan tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Pengiasat Trafik, Insp Nurul Anati Zulkifli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette
















