Sekitar Karnival Jom Masuk Universiti 2026 di Zon Timur.

KUALA TERENGGANU – Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) Zon Timur yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, 7 Februari 2026 menyasarkan 35,000 pengunjung dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertindak sebagai penyelaras.

Berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu, karnival bertemakan ‘DreamX: Inspiring Your Next Step’, ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta pameran reruai penawaran program pengajian bagi kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 yang melibatkan lebih 20 institusi termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institusi Mara, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta agensi berkaitan.

Ia merupakan platform strategik dalam membimbing lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat pilihan kerjaya dan hala tuju pendidikan tinggi selari dengan cabaran era digital yang semakin kompleks dan kompetitif.

Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) merupakan program rasmi tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan memperkasa kefahaman pelajar terhadap landskap pendidikan tinggi negara serta realiti dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan mencabar, seiring perkembangan teknologi dan ekonomi semasa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, fenomena remaja yang cenderung memilih jalan singkat menjana pendapatan tanpa perancangan jangka panjang, termasuk kerjaya sebagai pempengaruh media sosial, menuntut pendekatan bimbingan yang lebih berstruktur dan berinformasi.

“Dalam era teknologi yang berkembang pesat, pelajar perlu didedahkan kepada realiti kerjaya sebenar termasuk risiko, keperluan kemahiran mampan serta perancangan masa depan yang lestari. Program seperti Jom Masuk Universiti menjadi wadah penting untuk membantu mereka membuat keputusan yang lebih matang dan berfakta,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian JMU.

Penganjuran JMU 2026 Zon Timur turut diserikan dengan peluncuran logo rasmi Sambutan Jubli Perak Universiti Malaysia Terengganu ke-25, melambangkan perjalanan suku abad UMT dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta pembangunan modal insan negara.

Sepanjang penubuhannya, UMT telah berkembang sebagai universiti berfokus kelautan dan alam sekitar yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dalam bidang sains marin, perikanan, akuakultur, oseanografi serta kelestarianalam.

Para pengunjung boleh singgah di reruai UMT dan dapatkan infomasi lanjut penawaran 40 program pengajian di UMT termasuk program baharu yang ditawarkan bermula semester ini iaitu Sarjana Muda Sains Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Teknologi Persekitaran (kepujian).

Tambahan beliau, Program-program yang ditawarkan di UMT ini adalah releven dan sentiasa mendapat tempat pasaran kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast