KOTA BHARU – Komposer lagu dikir barat terkenal, Eddie Hamid, menyifatkan Kelantan kini semakin jauh melangkah ke hadapan dalam menerima seni dan budaya tradisional, khususnya muzik dikir barat yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, penerimaan masyarakat terhadap lagu-lagu dikir barat hari ini jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu, apabila penyanyi tempatan sukar mendapat sambutan dan sering berdepan pandangan negatif.
“Apa yang saya nampak, Kelantan sudah ‘mendonia’ dan melangkah jauh ke depan. Kalau dulu orang susah hendak terima lagu dikir barat, termasuk penyanyi tempatan, tetapi sekarang mereka tidak lagi malu untuk menyanyi.
“Generasi muda hari ini juga sudah boleh menerima lagu dikir barat seperti Bae Soba Bae dan Cicak,” katanya.
Mengulas mengenai garis panduan yang melarang pengunjung melompat-lompat atau berjoget semasa menonton persembahan, Eddie berkata, setiap negeri mempunyai peraturan tersendiri yang perlu dihormati.
“Kelantan ini dikenali sebagai negeri Serambi Mekah, jadi eloklah kita ikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
“Di luar Kelantan, mungkin berbeza, tetapi di sini kita kena patuh,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena pelancaran lagu terbaharu D’Recond Band di sini.
Menurut Eddie, kerajaan negeri tidak mengganggu kerjayanya sebagai komposer kerana beliau kini memasarkan lagu-lagunya menerusi YouTube dan platform digital lain.
“Garis panduan itu tidak menjejaskan kerjaya saya. Selama ini, persembahan saya memang tidak melibatkan joget atau melompat.
“Kejadian seperti yang tular baru-baru ini jarang berlaku, mungkin 10 tahun sekali. Berdasarkan pengalaman saya, kali pertama saya dibaling batu semasa berjoget atas pentas juga berlaku lama dulu,” katanya.
Beliau menegaskan, sebagai penggiat seni, setiap individu perlu menghormati budaya dan peraturan setempat.
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang harimau, meraum.”Kalau tidak, kita yang akan menerima akibat,” katanya. – MalaysiaGazette
















