HULU SELANGOR – Gangguan elektrik yang kerap berlaku di kawasan perniagaan sekitar Bukit Beruntung di sini dek kegiatan perlombongan mata wang kripto, Bitcoin terbongkar menerusi operasi bersepadu Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam.
Yang Dipertuanya, Julaihah Jamaludin berkata, dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), gangguan bekalan elektrik dikesan daripada penggunaan tenaga elektrik secara berlebihan dan tidak terkawal di premis-premis tertentu.
“Sebanyak lima premis di kawasan perniagaan Bukit Beruntung menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran atau lesen yang sah.
“Untuk makluman, aktiviti ini tidak dibenarkan sekiranya dijalankan tanpa kelulusan pihak berkuasa dan melibatkan penggunaan bekalan elektrik secara tidak terkawal.
“Bukan sahaja gangguan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar malah turut mendatangkan risiko kerosakan infrastruktur elektrik.
“Peningkatan bahaya litar pintas serta kebakaran, dan menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kata Julaihah, MPHS kemudiannya menyita premis yang terlibat sebagai langkah penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkuat kuasa.
“Kami ingin menegaskan sebarang aktiviti penggunaan elektrik dalam skala besar perlu mematuhi semua peraturan lesen, pendaftaran perniagaan serta syarat teknikal bekalan elektrik yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pemilik premis supaya memantau bangunan masing-masing daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran atau melanggar undang-undang yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati ingkar. Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut atau ingin membuat aduan boleh berbuat demikian kepada MPHS atau pejabat TNB berdekatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















