KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (National Housing Rental Association, NHRA) menyambut baik pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Pengerusinya, K Prakash berkata, penggubalan akta khusus itu merupakan langkah penting bagi menangani kekosongan dan ketidakpastian undang-undang yang sekian lama membelenggu pasaran sewaan kediaman di Malaysia.
Menurutnya, pasaran sewaan ketika ini berdepan pelbagai isu serius termasuk kenaikan sewa yang tidak munasabah, pertikaian pemulangan deposit, tunggakan sewa, kerosakan harta, kontrak tidak seragam serta kes pengusiran tanpa prosedur yang adil.
“Selama bertahun-tahun, pasaran sewaan beroperasi tanpa rangka undang-undang yang jelas dan seimbang.
“Akibatnya, penyewa terdedah kepada penindasan manakala pemilik rumah pula berdepan risiko kerugian tanpa perlindungan sewajarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, RUU berkenaan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak bagi memastikan keseimbangan antara hak penyewa dan pemilik rumah dapat dipelihara.
Sehubungan itu, Prakash menegaskan akta tersebut perlu disokong dengan penubuhan Tribunal Sewaan Kediaman yang khusus dan berfungsi secara efektif bagi menyelesaikan pertikaian secara cepat, adil dan berkos rendah.
“Tanpa tribunal yang benar-benar berfungsi, akta ini berisiko menjadi sekadar dasar di atas kertas.
“Tribunal perlu diberi kuasa jelas untuk menangani isu deposit, tunggakan sewa, kerosakan harta, pelanggaran kontrak dan pengusiran,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan Akta Sewaan Kediaman juga perlu mengambil kira faktor keseimbangan lain seperti kesesakan lalu lintas, tahap kepadatan penduduk serta kemudahan asas di sesuatu kawasan.
Menurutnya, kadar sewa tidak wajar ditetapkan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mencerminkan tahap keselesaan dan kualiti kehidupan setempat.
“Kawasan yang berdepan masalah trafik, kepadatan tinggi serta kemudahan terhad sepatutnya mempunyai kadar sewa lebih rendah berbanding kawasan yang lengkap dengan prasarana dan persekitaran selesa,” katanya lagi.

Selain itu, Prakash menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya melaksanakan proses libat urus yang telus dan menyeluruh sebelum RUU itu dimuktamadkan, dengan mengambil kira pandangan penyewa, pemilik rumah serta pemain industri.
“Kami berharap semua suara didengar secara serius supaya undang-undang yang digubal benar-benar praktikal, adil dan seimbang,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap tuntutan rakyat dan perjuangan NHRA
Jelasnya itu berpotensi menjadikan sistem sewaan kediaman di Malaysia lebih teratur, progresif dan setanding dengan negara maju. -MalaysiaGazette
Akta lindungi penyewa, pemilik rumah dibentang tahun depan – Kor Ming
















