Tangkap layar video tular aksi kejar mengejar polis dengan suspek yang memandu Proton Wira di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan semalam

KUANTAN – Polis berjaya menangkap seorang lelaki yang melarikan diri selepas disyaki terlibat jenayah dadah dalam aksi kejar mengejar kenderaan di Jalan Dato’ Wong Ah Jang, Kuantan kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari Jalan Gambut menghala ke kawasan bandar Kuantan.

Semasa usaha menahan suspek dijalankan, kenderaan tersebut telah terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan awam.

Namun, tiada kecederaan dilaporkan pada semua pemandu dalam kejadiaan tersebut.

“Pemandu kenderaan berjaya ditahan pihak polis tidak lama selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal ke atas suspek telah membawa kepada tangkapan serta rampasan berkaitan kes dadah yang kini disiasat di bawah Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta mengakibatkan kemalangan jalan raya,” tambahnya.

Ashari berkata, tindakan yang diambil adalah selaras dengan undang-undang serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Sejak semalam, tular beberapa klip rakaman video dan klip video kamera papan pemukadi laman media sosial memaparkan sebuah kereta Proton Wira merempuh beberapa buah kereta lain sebelum meninggalkan kereta itu di tengah jalan dan bertindak melarikan diri selepas dikejar polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast