Ketua Polis KL, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan lima individu termasuk Zamri Vinoth dan Tamim Dahari ditahan dan direman bagi membantu siasatan susulan perhimpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (Garah) di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua individu berkenaan masih dalam tahanan dan permohonan reman telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Saya ingin sahkan bahawa polis telah membuat tangkapan terhadap individu bernama Zamri Vinoth dan Tamim Dahari.

“Ketika ini kedua-dua mereka masih ditahan dan permohonan reman telah dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen KL (IPK) di sini hari ini.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini telah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan daripada pihak penganjur yang terdiri daripada Gabungan Pendakwah Bebas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Perhimpunan tersebut dirancang berlangsung pada 7 Februari (semalam) jam 8 malam namun tidak dibenarkan selepas pertimbangan dan risikan keselamatan dijalankan.

Bagaimanapun, kira-kira 100 individu tetap berhimpun di lokasi berkenaan bagi mendesak tindakan diambil terhadap isu pencerobohan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.

Susulan itu, polis menahan 19 individu dipercayai peserta perhimpunan, terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun.

Fadil berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap dua individu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, 17 individu lain ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah bagi tujuan pencegahan.

Selain Zamri dan Tamim, Fadil turut mengesahkan polis telah menahan tiga individu berbangsa India yang turut melakukan provokasi bawah akta hasutan berkaitan insiden ini malam tadi di sekitar Klang Utara, Selangor. 

Maklum beliau, tiga lelaki berkenaan sudah ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan, manakala salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Dua belah pihak kita ambil tindakan, tidak kira apa bangsa mereka. Jangan cuba timbulkan gangguan ketenteraman awam,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan salah seorang daripada individu itu ialah aktivis kontroversi, Arun Dorasamy.

Dalam pada itu, kata Fadil, semua yang ditahan dikesan membuat ancaman melalui media sosial termasuk TikTok dan platform lain.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh isu-isu berkaitan 3R yang boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat keselamatan awam.

“Sebarang cubaan mengeksploitasi isu 3R akan disiasat dan diambil tindakan tegas. PDRM komited memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast