Pembenihan awan akan dilakukan di Empangan Machap, Kluang baru-baru ini selepas mengalami penyusutan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Johor dijadualkan membuat pembenihan awan di kawasan sekitar Empangan Machap, Upper Layang dan beberapa tempat lain pada Rabu ini bertujuan mengatasi masalah bekalan air di Kluang dan Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu, langkah meningkatkan paras empangan itu diambil selepas merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Langkah ini diharapkan dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air sebelum tiba musim perayaan Tahun Baharu Cina, pada minggu depan.

“Kita akan membuat pembenihan awan seawal Rabu ini di kawasan Empangan Machap dan Upper Layang serta kawasan yang berkaitan.

“Kita akan cuba selelsaikan isu ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Johor 2026 di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Bukit Senyum, di sini hari ini.

Semalam, Ranhill SAJ dalam kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan air tidak terancang di beberapa kawasan di sekitar daerah Kluang dan Pontian.

Ia susulan paras Empangan Machap yang membekalkan sumber air mentah kepada Sungai Ulu Benut kini menunjukkan penyusutan susulan musim kemarau yang berpanjangan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, di Pontian dan Kluang, pengguna menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Pulai dan juga LRA Machap.

Baru-baru ini katanya, LRA machap terjejas disebabkan bekalan air di Empangan Machap berkurangan dan pihaknya terpaksa membuat pengolahan daripada LRA Yong Peng melibatkan empat juta liter sehari (MLD).

“LRA Machap ini dapat sumber air daripada Sungai Benot namun kapasiti sungai itu sudah berkurangan. Selalunya, kita ‘top up’ daripada Empangan Machap tetapi bekalan air empangan itu pun sudah surut hingga bawah paras ‘gate’ air.

“Sebab itu, kita terpaksa membuat operasi menyedut air dari tengah-tengah empangan itu untuk kita keluarkan, kita sasar dalam 20 MLD dari Empangan Machap yang beroperasi di bawah paras 30 peratus,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut mendapat bantuan daripada negeri lain dengan meminjamkan lori tangki air (tanker) bagi memudahkan pembekalan air bersih secara terus kepada pengguna.

Buat masa ini, katanya, sebanyak 46 lori tangki sedang bergerak khusus di kawasan Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat dan 15 tanker dari negeri lain bergerak ke kawasan Simpang Renggam dan Pontian.

“Kita ucap terima kasih kepada beberapa negeri yang sudi membantu kita antaranya Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Pahang yang meminjamkan tanker-tanker ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast