KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan di Putrajaya tidak akan diteruskan kerana melibatkan kos yang tinggi iaitu mencecah RM21195 juta untuk tempoh 10 tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, sekiranya dilaksanakan kos berkenaan perlu ditanggung oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).
“Kos ini adalah di luar kemampuan kewangan PPj sebagai PBT,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Pakatan Harapan) yang ingin tahu status terkini ART di Putrajaya.
Untuk makluman, pelaksanaan projek perintis ART oleh Kementerian Pengangkutan di Putrajaya telah dilaksanakan dari 1 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024.
Mengulas lanjut, Su Fui berkata, cadangan berkenaan hanya bersifat kajian pasaran sahaja.
Bagaimanapun, menurutnya, PPj sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam di Putrajaya pada masa depan tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan, khususnya bagi menyokong sasaran perkongsian mod pengangkutan awam 70:30.
“Nisbah ini merujuk kepada 70 peratus pengangkutan awam manakala 30 peratus kenderaan persendirian,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















