KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kerajaan menggunakan MyKad untuk memantau pergerakan rakyat.
Tegasnya, kad pengenalan diri rakyat Malaysia itu tidak mempunyai ciri pengesanan lokasi.
Sebaliknya, jelas beliau, MyKad dilengkapi dengan algorithm penyulitan tahap tinggi bagi memastikan perkongsian data antara sektor awam dan swasta kekal selamat daripada pencerobohan.
“MyKad tidak mempunyai ciri pengesanan lokasi. Kalau tidak ada ciri itu, tidak bolehlah kita kata bahawa MyKad boleh jadi satu alat untuk memantau pergerakan rakyat.
“Jadi dakwaan itu tertolak. Kalau dikatakan kerajaan menjejak pergerakan atau tabiat harian rakyat melalui kad (MyKad) adalah tidak benar sama sekali,” katanya ketika sesi penggulungan Titah DiRaja di Dewan Rakyat hari ini.
Di samping itu, katanya, data mengenai penyasaran subsidi BUDI95 tidak hilang meskipun dalam MyKad yang baharu digantikan akibat kehilangan.
“Ini juga kadang-kadang berlaku MyKad hilang, adakah data hilang? Tidak. Walaupun kad baharu dikeluarkan,” katanya lagi.
Terdahulu Jamaludin Yahya (Pasir Salak- PN) membangkitkan kegusaran awam berhubung potensi penyalahgunaan fungsi MyKad sebagai instrument untuk memantau pergerakan rakyat di samping rekod keselamatan negara yang dilihat rapuh.-MalaysiaGazette
















