Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Hanya peminjam yang berpendapatan tinggi dan menepati kriteria tertentu tetapi culas membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikenakan sekatan perjalanan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim  berkata, langkah berkenaan bukan untuk menghukum peminjam, sebaliknya bagi memastikan keadilan serta kelestarian dana pendidikan negara.

“Kerajaan sentiasa prihatin mengenai beban hutang serta kesukaran graduan dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka sekiranya tidak berkemampuan,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib (Perikatan Nasional).

Ismail meminta KPT menyatakan langkah bagi membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan tetap disenarai hitam ke luar negara kerana tunggakan PTPTN.

Menurut Adam Adli, PTPTN telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban peminjam selepas bergraduasi.

Antaranya memberi tempoh tempoh lanjutan selama 12 bulan kepada peminjam selepas tamat pengajian bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan serta pendapatan yang stabil sebelum diwajibkan memulakan bayaran balik pinjaman.

Selain itu, katanya lagi, bagi yang tidak mampu membayar balik pinjaman mengikut jadual asal boleh memohon penstrukturan semula bayaran sehingga maksimum umur 60 tahun.

Tambahnya, penangguhan bayaran balik turut dibenarkan kepada peminjam yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan, sama ada sehingga mereka memperoleh pendapatan atau bagi tempoh maksimum dua tahun.

“Bagi peminjam yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pula, penangguhan bayaran balik pinjaman akan diberikan sepanjang tempoh pengajian baharu mereka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast