KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghormati pandangan yang disuarakan oleh pelajar yang menggesa supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengaku AUKU merupakan akta yang dinamik dan perlu disesuaikan dengan perubahan semasa.
Oleh sebab itu, katanya, KPT sentiasa terbuka dengan pandangan daripada pelbagai pihak.
“Kita sentiasa inginkan satu idealisme perjuangan. Kita hormati kerana mereka ingin beri paadangan, ini tidak bermakna kerajaan langsung tidak buat apa-apa dalam konteks AUKU ini.
“AUKU adalah satu akta yang penuh dengan perbahasan, perdebatan, kontorversinya yang mana sebahagian besar kita (yang) berada di sini turut terlibat dalam siswa-siswa di kampus (sebelum ini).
“Oleh demikian kita menghormati pandangan-pandangan mereka (pelajar) melalui perbahasan perdebatan sihat yang dibuat, melalui pertemuan ke kampus-kampus dengan pandangan berkaitan keperluan terhadap perubahan yang kita perlu lakukan,” katanya ketika Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, jelasnya, AUKU bukan sekadar akta berkaitan kebebasan pelajar semata-mata sebaliknya melibatkan penubuhan 18 universiti, punca kuasa, pentadbiran dan pengoperasian.
Sehubungan itu katanya proses penambahbaikan AUKU memerlukan proses yang panjang.
“Sewaktu AUKU digubal pada 1971, ia dilihat secara komprehensif di dalamnya ada 44 seksyen semuanya, 32 seksyen berkaitan tadbir urus. Dan kita tahu ia merupakan asatu proses yang panjang yang sangat dinamik dan pindaan demi pindaan telah dilakukan.
“Pada 2012 pindaan titik awal pemerkasaan, kita melihat ada sekatan-sekatan terhadap kebebasan mahasiswa kemudian kita teruskan lakukan pindaan itu dan terbaharu tahun lalu ada berbahas dalam Parlimen,” ujarnya.
Terdahulu, sekumpulan pelajar menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli bagi menggesa pemansuhan AUKU.
Ia termasuklah mengenai peruntukan memberikan kuasa luas kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk melantik Naib Canselor.
Sementara itu, Zambry menegaskan tidak pernah menolak cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan NC kepadanya.
Jelasnya, pelantikan NC di universiti-universiti awam tertakluk kepada proses-prosesnya iaitu pencarian secara terbuka dan penilaian di lapangan.
“Jawatankuasa akan menilai berdasarkan calon-calon yang memohon. Proses ini melibatkan pemegang taruh dan perwakilan pelajar selepas itu barulah dikemukakan kepada menteri,” tambahnya.
“Pengalaman saya selama dua tahun (menjadi) menteri, saya tidak pernah menolak cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh jawatan kuasa itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















