Goto IG Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam.

KUALA LUMPUR – Pasangan diraja Brunei, Putera Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam menimang kelahiran cahaya mata pertama semalam.

Anisha selamat melahirkan seorang puteri pukul 8.50 pagi sekali gus menambah seorang lagi cucunda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah.

Sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman, Brunei, sebagai tanda bermulanya istiadat rasmi meraikan kehadiran puteri itu.

Tradisi 17 das tembakan meriam merupakan sebahagian daripada istiadat Diraja Brunei bagi menandakan kelahiran kerabat baharu.

Ia dilihat sebagai simbol penghormatan tinggi terhadap kelahiran pewaris, selain mencerminkan warisan kesultanan yang kaya dengan nilai adat dan budaya.

Perkhabaran gembira itu turut dikongsikan sendiri oleh Anisha menerusi Instagram, mencuri perhatian rakyat Brunei dan peminat keluarga diraja.

Sementara itu, memetik kenyataan Pejabat Baginda Sultan, istiadat tembakan meriam yang dilepaskan di kawasan istana itu adalah sebahagian tradisi Diraja Brunei bagi menzahirkan kesyukuran atas kelahiran pewaris baharu kerabat diraja.

Abdul Mateen yang merupakan anakanda ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ini berkongsi berita kehamilan isterinya pada Oktober lalu.

Pasangan diraja yang sama cantik sama padan itu diijabkabulkan pada 11 Januari 2024 dalam istiadat penuh adat di Masjid Omar Ali Saifuddien.

Dengan kelahiran puteri sulung pasangan ini, tumpuan rakyat Brunei sekali lagi terarah kepada institusi diraja negara itu yang terus menjadi lambang kestabilan, identiti dan kesinambungan tradisi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast