Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai maklumat sama ada Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya.

Sebaliknya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, maklumat berkenaan akan dimaklumkannya selepas kertas siasatan selesai.

“Buat masa sekarang saya belum ada apa-apa maklumat melainkan berita tangkapan seperti mana yang kita sedia maklum,” katanya ringkas menjawab soalan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ramkarpal bertanyakan status penahanan aktivis berkenaan.

Saifuddin berkata, tangkapan beberapa peserta Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada Sabtu lalu dibuat berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang antaranya Akta Hasutan dan Kanun Tatacara Jenayah.

Sebagai rekod, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan polis untuk menahan dua aktivis Himpunan GARAH, Zamri dan Tamim Dahari selama dua hari bagi membantu siasatan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan dalam prosiding permohonan lanjutan reman yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menahan 17 individu selain dua aktivis berkenaan.

Ujarnya, kira-kira 100 individu berhimpun untuk mendesak tindakan diambil ke atas pencerobohan pembinaan kuil yang dibina tanpa kebenaran.

Sebelum itu, beliau menegaskan, polis tidak membenarkan penganjuran himpunan berkenaan atas faktor keselamatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast