SEPANG – Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) yang dikendalikan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) merupakan antara pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang dipercayai.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pusat itu mencerminkan keyakinan terhadap kualiti pendidikan negara, kepercayaan terhadap pertukaran antarabangsa serta komitmen terhadap hospitaliti terbaik yang ditawarkan negara ini.

Menurut beliau, ISAC bukan sekadar tentang membuka pintu kepada pelajar antarabangsa, tetapi turut menawarkan peluang, persahabatan, ilmu pengetahuan dan nilai-nilai bersama.

Jelasnya, ISAC juga menghimpunkan perkhidmatan yang cekap, panduan yang jelas, kepekaan budaya serta keramahan perkhidmatan di bawah satu bumbung.

“Dengan kata lain, apabila para pelajar antarabangsa tiba, kita tidak mahu mereka berasa tidak selesa atau berasa seperti orang asing di bumi yang asing.

“Sebaliknya, kita mahu mereka merasakan seolah-olah berada di rumah dan bersama keluarga sendiri.

“Malah, kita mahu mereka menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka yang mana mereka dialu-alukan, dihargai, dan sentiasa berasa selamat di sini,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama timbalannya, Adam Adli Abdul Halim beramah mesra bersama pelajar antarabangsa selepas hadir Majlis Perasmian International Student Arrival Centre (ISAC) yang merupakan kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang diwujudkan khusus bagi menyokong pelajar antarabangsa terutama berkaitan dengan proses imigrasi sebaik ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2026.

Beliau berucap pada majlis pelancaran ISAC yang merupakan inisiatif kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan EMGS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

ISAC merupakan kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang diwujudkan khusus bagi menyokong pelajar antarabangsa sebaik sahaja tiba di KLIA 1 dan KLIA 2.

Terletak secara strategik di pintu masuk utama negara, pusat itu menyediakan pengalaman ketibaan yang lebih tersusun dan mesra, berfokuskan keperluan pelajar antarabangsa terutama berkaitan dengan proses imigrasi di lapangan terbang.

Pusat itu menawarkan bantuan ketibaan yang menyeluruh termasuk panduan berkaitan proses imigresen, taklimat ketibaan, maklumat pengangkutan dari lapangan terbang ke kampus, serta akses kepada perkhidmatan sokongan awal pelajar.

International Student Arrival Centre (ISAC) merupakan kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang diwujudkan khusus bagi menyokong pelajar antarabangsa terutama berkaitan dengan proses imigrasi sebaik ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2026.

Pegawai EMGS juga ditugaskan pusat itu sepanjang masa bagi memastikan pelajar antarabangsa menerima bantuan yang tepat, seterusnya membantu mereka menyesuaikan diri dengan lancar dalam persekitaran pembelajaran di Malaysia.

Sementara itu, Zambry berkata, penubuhan ISAC di KLIA 1 pada 2018 dan di KLIA 2 pada 2021 secara tidak langsung turut membantu Malaysia muncul sebagai hab pendidikan antarabangsa di rantau ini.

Ketika ini, ujarnya, Malaysia menjadi destinasi pendidikan antarabangsa paling utama di rantau ini dengan lebih 150,000 pelajar asing yang datang dari lebih 180 buah negara.

Jelasnya, para pelajar antarabangsa berkenaan memilih Malaysia bukan secara kebetulan, sebaliknya berdasarkan keyakinan mereka terhadap pengalaman pendidikan yang ditawarkan di negara ini termasuk program pengajian berkualiti yang menepati piawaian global.

“Kampus kita juga bersifat pelbagai budaya, inklusif dan selamat, manakala kos sara hidup kita berpatutan tanpa menjejaskan kecemerlangan akademik.

“Masyarakat kita pula menghargai keharmonian, kepelbagaian dan rasa hormat. Kehadiran pelajar antarabangsa dari Asia, Afrika, Asia Barat, Eropah dan pelbagai benua lain merupakan petunjuk jelas kepercayaan global terhadap pendidikan Malaysia.

“Kepercayaan yang diperoleh ini mesti dipelihara dan ISAC adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menunaikan amanah dan kepercayaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata, sejak ditubuhkan, ISAC terus menjadi tumpuan dan rujukan dengan lebih 80 peratus pelajar antarabangsa mendapatkan perkhidmatan di pusat tersebut.

Jelasnya, bulan September setiap tahun secara tradisinya merupakan tempoh kemasukan puncak pelajar antarabangsa dan pada tahun lalu sahaja, ISAC telah mengalu-alukan lebih 10,000 pelajar hanya sepanjang tempoh itu.

“ISAC memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan pengalaman ketibaan yang lancar dan positif, khususnya dalam tempoh yang sangat sibuk.

“Selain itu, ISAC turut melambangkan semangat keramahan Malaysia yang mana ia bertujuan memastikan para pelajar berasa dialu-alukan, dibantu dan benar-benar seperti berada di rumah sendiri sejak detik pertama mereka menjejakkan kaki di Malaysia,” katanya,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar antarabangsa dari Afghanistan, Harun Rahun berkata, meskipun pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini, namun dia tidak berasa janggal atau kekok kerana dibantu oleh pegawai ISAC sebaik sahaja tiba di KLIA 1.

“Mereka banyak membantu termasuk dari segi memudahkan urusan imigresen serta berkongsi maklumat-maklumat berkaitan yang memudahkan urusan pengajian saya sepanjang berada di negara ini,” kata pelajar Ijazah Sarjana dalam bidang bahasa dan komunikasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast