KUALA LUMPUR – PSU Group of Companies semalam telah merasmikan Program Umrah Nur Al-Syifa, satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang melibatkan
penajaan ibadah umrah kepada 100 orang jemaah terpilih ke
Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Bagi tahun ini, PSU Group of Companies menaja seramai 100
orang jemaah dari seluruh negara yang terdiri daripada golongan
mualaf, fakir miskin dan fisabilillah.
Kesemua jemaah merupakan individu yang belum pernah menunaikan ibadah umrah atau haji sebelum ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Datuk Hishamuddin Zaizi ibni Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj selaku jemputan khas.

Mulia Tengku Datuk Hishamuddin Zaizi.
Majlis turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi syarikat,
wakil rakan strategik, para jemputan kehormat serta jemaah umrah yang terlibat.
Menurut Pengarah Urusan PSU Group of Companies, Mohammad Arrief Mu’min, Program Umrah Nur Al-Syifa mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyantuni kebajikan rohani masyarakat selaras dengan nilai teras syarikat yang menekankan keseimbangan antara kejayaan perniagaan dan tanggungjawab sosial.
Beliau turut memaklumkan pihak syarikat secara konsisten memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan tahunan bagi melaksanakan program kebajikan serta pembangunan ummah.
Beliau juga telah mula mewakafkan sebahagian daripada pendapatan beliau sejak umur 20 tahun lagi.
Menurut kepercayaan beliau, semakin banyak seseorang memberi, semakin besar ganjaran dan rezeki yang dilimpahkan
oleh Allah menjadi prinsip utama dalam kehidupan dan perniagaannya.
“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja diukur melalui pencapaian kewangan tetapi juga melalui
sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta
mendekatkan diri kepada Allah.
“Program Umrah Nur Al-Syifa ini adalah salah satu usaha kami untuk berkongsi rezeki dan memberi peluang kepada mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah,” ujar beliau.
PSU Group of Companies telah lama terlibat dalam pelbagai program kebajikan dan inisiatif kemasyarakatan.
Sebelum ini, syarikat turut pernah menaja ramai individu secara
perseorangan bagi menunaikan ibadah umrah namun Program
Umrah Nur Al-Syifa merupakan tajaan serentak pertama yang
melibatkan penghantaran seramai 100 orang jemaah ke Tanah
Suci.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada jemaah yang
layak untuk menunaikan ibadah umrah dengan lebih sempurna
dan tenang di samping diharapkan dapat memberi impak positif
dari segi kerohanian serta kesejahteraan diri para jemaah.
Beliau juga berhasrat untuk membantu merealisasikan impian umat Islam ke Tanah Suci melalui program anjuran syarikatnya yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Melalui Program Umrah Nur Al-Syifa, PSU Group of Companies berharap dapat terus memainkan peranan aktif dalam menyokong
pembangunan ummah serta melaksanakan lebih banyak inisiatif
kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat. – MalaysiaGazette
















