KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menyokong cadangan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla supaya sebuah jawatankuasa peringkat nasional ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat haram secara menyeluruh.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah dan undang-undang bagi memastikan penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang.
Tambahnya, sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat hendaklah diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama semua pihak berkepentingan.
“Kementerian memberi ruang penuh kepada proses perbincangan dan rundingan yang konstruktif, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang adil, harmoni dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, Aaron turut menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat mesti dipatuhi mengikut undang-undang dan tidak dipolitikkan.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda itu adalah panduan penting kepada semua pihak untuk sentiasa menghormati undang-undang serta menyelesaikan sebarang isu melalui saluran yang sah.
“Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan budaya dan tanggungjawab memelihara nilai-nilai perpaduan, keamanan dan keharmonian terletak pada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sehubungan itu, ujar beliau, isu pembinaan rumah ibadat mesti ditangani sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sebagai contoh, tambahnya, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal struktur bangunan dan memastikan tiada rumah ibadat dibina tanpa kebenaran.
Sementara itu, jelasnya, Kanun Tanah Negara (Akta 828) menetapkan tanah mesti berstatus “Tapak Rumah Ibadat”, dan sebarang tanah yang masih berstatus “Kediaman” atau “Pertanian” hendaklah melalui proses Tukar Syarat Tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum sebarang pembinaan dibenarkan.
Selain itu, tambah beliau, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) melalui PLANMalaysia digunakan untuk merancang pengezonan dan tapak khusus rumah ibadat, manakala Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memastikan aspek teknikal dan keselamatan struktur dipatuhi sepenuhnya.
“Semua proses ini jelas dan berlandaskan undang-undang, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Rukun Negara, dan sebarang percubaan untuk mempolitikkan isu rumah ibadat adalah tidak wajar, kerana ia hanyalah soal pematuhan undang-undang, prosedur rasmi dan keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















