KUALA LUMPUR — Kerajaan digesa bertindak segera menyiasat dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, susulan pendedahan pegangan dalam beberapa syarikat tersenarai yang menimbulkan persoalan integriti institusi penguat kuasa itu.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, siasatan bebas perlu dilaksanakan tanpa berlengah bagi memastikan keyakinan awam terhadap SPRM tidak terus terhakis.
“Walaupun Azam menafikan sebarang salah laku berhubung sahamnya dalam Velocity dan menegaskan bahawa beliau telah mengisytiharkan saham tersebut dengan sewajarnya dalam syarikat berkenaan, beliau masih belum mengulas mengenai dakwaan pemilikan sahamnya dalam Awanbiru.
“Tidak syak lagi bahawa kedua-dua perkara ini mesti disiasat lanjut oleh pihak ketiga yang bebas kerana jelas bahawa Azam tidak boleh menjadi hakim dalam kesnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan beliau turut memiliki pegangan dalam Awanbiru Technology Berhad berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus mencetuskan persoalan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan had ekuiti penjawat awam.
Semakan rekod korporat menunjukkan setakat 13 Januari lalu, Azam memiliki kira-kira 4.52 juta saham atau 1.08 peratus pegangan dalam syarikat itu, yang dianggarkan bernilai hampir RM1.38 juta berdasarkan harga pasaran ketika itu.
Ramkarpal berkata, isu berkenaan tidak boleh dilihat sebagai soal pengisytiharan aset semata-mata kerana ia melibatkan asas kepercayaan terhadap ketelusan institusi yang memerangi rasuah.
“Saya berpandangan kedua-dua perkara ini mesti disiasat lanjut oleh pihak ketiga yang bebas kerana jelas bahawa Azam tidak boleh menjadi hakim dalam kesnya sendiri,” katanya lagi.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada transaksi saham tersebut melanggar had dibenarkan, berkait dengan kontroversi pemilikan saham terdahulu atau melibatkan urus niaga lain yang belum dijelaskan kepada umum.
“Keyakinan awam terhadap SPRM hanya dapat dipertahankan jika siasatan sewajarnya dijalankan sementara Azam direhatkan daripada tugas, sekali gus memberinya peluang untuk didengar.
“Kerajaan tidak boleh mengabaikan perkara ini kerana integriti institusi itu sendiri mesti menjadi keutamaan tertinggi dan segala usaha perlu dilakukan untuk melindungi imejnya,” katanya.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa turut menyebut Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd dengan nilai dianggarkan hampir RM800,000, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai pematuhan peraturan pemilikan ekuiti penjawat awam. — MalaysiaGazette
















