Ab Rahaman menunjukkan arak tiruan yang dirampas dalam serbuan, selepas sidang akhbar di Balai Polis Senai, Kulai, hari ini.

KULAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan sindiket arak tiruan dengan nilai rampasan RM1.7 juta selepas melakukan serbuan di Taman Mewah dan Taman Senai Utama di sini pada 3 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan Batalion 5 PGA tersebut dilakukan antara pukul 2 hingga 3 petang di dua rumah di taman berkenaan.

“Serbuan pertama dilakukan di Taman Mewah yang dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan. Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang bekerja di situ.

“Pihak polis merampas peralatan pembotolan arak dan sejumlah besar kotak yang berisi pelbagai jenis arak, dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Senai di sini hari ini.

Beliau berkata, antara yang dirampas tiga tong hitam berkapasiti 200 liter pati arak dan satu tong biru yang sudah diubah suami berisi 120 liter cecair dipercayai arak tiruan yang telah dibancuh.

Katanya, turut dirampas satu tong kelabu yang diubah suai sertai dilengkapi hos berisi 170 liter cecair disyaki cecair arak tiruan yang sudah siap dibancuh, satu tong hitam berisi 500 liter cecair disyaki arak tiruan yang sudah dibancuh.

“Selain itu tong biru berisi tiga liter cecair disyaki bahan pewarna, satu tong putih berisi 7 liter perwarna perisa Karamel, 50 kotak berisi 52 botol kosong dan 203 kotak arak pelbagai jenama,” katanya.

Ab Rahaman berkata, susulan itu pihak polis melakukan serbuan kedua di Taman Senai Utama, Senai yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan arak tiruan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut pihak polis merampas antaranya sebuah van jenis Toyota Hiace bersama-sama sebatang anak kunci dan alat kawalan jauh dan 414 kotak arak pelbagai jenama.

Beliau memberitahu, anggaran nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan tersebut berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan arak tiruan, peralatan pembotolan, cukai dan van.

Katanya, siasatan mendapati arak tersebut untuk pasaran tempatan terutama warga Myanmar yang menetap di negeri ini dengan harga RM50 hingga RM60 sebotol.

“Kita percaya sindiket ini sudah aktif sejak Ogos tahun lalu. Proses membuat arak ini dilakukan di tempat lain di Johor dan kita sudah mengenal pasti lokasinya.

“Pekerja asing terbabit mendapat gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan kita sedang menyiasat ketua atau dalang sindiket ini,” ujarnya.

Menurut Ab Rahaman, semua suspek ditahan reman selama sembilan hari bermula 4 Februari lalu hingga esok bagi membantu siasatan bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 136(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast