PASIR GUDANG – “Saya, isteri dan anak-anak terjun ke dalam laut semasa kebakaran berlaku kerana bahagian depan rumah sudah terbakar dan tiada ruang melarikan diri kerana api sudah marak”.
Itu cerita Kuik Toh, 43, yang menyelamatkan diri bersama-sama isteri, Semah Jumaat, 52, dan dua anaknya semasa kebakaran melibatkan 30 rumah atas air dihuni Orang Asli di Kampung Teluk Jawa di sini pagi tadi.

Menurut Kuik, semasa kebakaran, dia yang bekerja sebagai nelayan baru pulang menangkap ikan sebelum dikejutkan kira-kira tiga jam kemudian selepas mendengar jeritan jiran memberitahu berlaku kebakaran.
“Saya terjaga dari tidur apabila terdengar budak menjerit rumah terbakar. Saya lihat api sudah merebak sebelum melarikan diri. Barang semua tak sempat ambil.
“Disebabkan sukar untuk melarikan diri ikut jalan darat (bahagian depan rumah) kerana api sudah marak, kami terjun ke dalam air,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Kebakaran pada pukul 7.05 pagi itu menyebabkan 30 rumah Orang Asli musnah namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Bercerita lanjut, Kuik berkata, semua mangsa boleh dikatakan tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan dokumen atau barang berharga berharap termasuk bot.
Bapa kepada tiga anak itu berharap akan ada pihak yang membantu mereka terutama membina rumah baharu apatah lagi apabila mengenangkan menjelang Ramadan minggu depan.
Seorang lagi mangsa, Nur Aisyah Abdullah, 36, berkata, semasa kejadian dia baru menghantar anaknya ke sekolah sebelum pulang dan mendapati rumah yang baru diduduki keluarganya bulan lalu.

“Rumah yang terbakar baru saya duduki sebulan lalu. Kami berpindah selepas tapak rumah lama kami yang tidak jauh dari rumah baharu kami diambil pemaju sebelum dibayar pampasan RM50,000.
“Bulan sahaja rumah tapi kami juga baru beli perabot termasuk mesin basuh, televisyen dan kelengkapan rumah lain termasuk persiapan untuk sambut puasa. Semuanya musnah terbakar,” ujarnya.
Ibu kepada tiga anak itu mendakwa, kerugian dianggarkan lebih RM70,000 termasuk melibatkan dua buah bot yang digunakan dia dan suami untuk mencari rezeki sebagai nelayan.
Dalam pada itu, saksi awal kejadian, Saripah Majid, 31, berkata, ketika itu dia dan suami, Iwan Gosti, 33, sedang bersiap untuk menghantar dua anak perempuannya berusia lapan dan 11 tahun ke sekolah.

“Bila saya keluar rumah saya lihat kabel elektrik rumah jiran terbakar dan meletup sebanyak beberapa kali sebelum api menyambar rumah penduduk yang diperbuat daripada kayu.
“Api merebak dengan begitu cepat, saya sendiri tak sempat nak menyelamatkan barangan berharga saya kerana bergegas keluar ke tempat selamat bersama suami dan anak-anak,” katanya.
Saripah yang juga seorang nelayan berkata, api marak dengan begitu pantas hingga ada penduduk bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















