KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin, menggesa kerajaan supaya terus mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan ketegasan beliau dalam membanteras rasuah sejak 2020.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Asna yang juga pemimpin UMNO berkata, kepimpinan Azam telah membuktikan keberanian dan komitmen tinggi dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi.
Ini termasuk melibatkan tokoh penting negara, walaupun berdepan tekanan daripada pelbagai pihak.
“Sejak dilantik pada Mac 2020, beliau menunjukkan ketegasan dan keberanian dalam membanteras rasuah. Tindakan ini mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi ia membuktikan komitmen terhadap integriti dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh lima tahun di bawah pimpinan Azam, SPRM berjaya menyita aset bernilai RM3.54 bilion serta melucut hak harta berjumlah RM27.87 bilion, yang disalurkan semula kepada negara untuk manfaat rakyat.
“Semua wang ini masuk kembali ke dalam kantung negara untuk diberikan kepada rakyat,” katanya lagi.
Asna berkata ketegasan SPRM turut memberi kesan besar kepada penjawat awam, khususnya mereka yang mempunyai kuasa, supaya tidak menyalahgunakannya.
“Dengan ketegasan ini, penjawat awam akan rasa gentar untuk melakukan salah guna kuasa. Negara mula kembali ke landasan yang betul,” ujarnya.
Asna yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan turut menegaskan rasuah merupakan punca utama kerosakan sistem pentadbiran negara dan mampu menghancurkan masa depan Malaysia jika tidak dibanteras secara menyeluruh.
“Rasuah menjahanamkan negara. Ia merosakkan segala sistem pentadbiran, lebih-lebih lagi jika badan yang sepatutnya menjaga kepentingan negara terlibat demi habuan,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Asna berkata sokongan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah semakin meningkat, berdasarkan maklum balas yang diterimanya ketika turun padang.
“Ke mana sahaja saya pergi berjumpa rakyat, pasti rakyat bercerita tentang keberanian SPRM menangkap ‘jerung-jerung’ yang merosakkan negara. Rakyat mula memuji di atas keberanian ini.
“Bukankah perkembangan ini membuktikan usaha kerajaan membanteras rasuah bukan sekadar retorik politik, sebaliknya disokong dengan tindakan berterusan.
“Sokongan rakyat semakin kuat kerana janji membanteras rasuah terbukti melalui usaha yang konsisten,” katanya.
Asna bagaimanapun mengakui ketegasan Azam telah mewujudkan ramai pihak yang tidak berpuas hati, sekali gus meletakkan beliau dan seluruh warga SPRM dalam situasi mencabar.
“Saya yakin beliau telah mencipta ramai musuh. Beliau dan jentera SPRM berada dalam ‘zon perang’ untuk mengangkat Malaysia menjadi negara yang kuat dan berdaulat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak wajar mengubah kepimpinan yang sedang menunjukkan keberkesanan dalam memerangi rasuah.
“Sekiranya kita mempunyai seorang jeneral perang yang berani, tegas dan mampu membawa kemenangan, kenapa kita harus tukar?,” soalnya. -MalaysiaGazette
Baca penjelasan Azam, dia buat kerja, buat apa maki dia – Anwar
















