Ikhlas (berdiri tengah) pada majlis Pengagihan Beras Fidyah "Amanah Fidyah: Sekampit Beras, Seribu Makna" kepada 200 keluarga asnaf, fakir, miskin & fisabilillah di sekitar Lembah Jaya hari ini. Gambar: Ihsan ikhlas.com.

KUALA LUMPUR – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menjalin kerjasama berasingan dengan TheNoor dan Touch ’n Go bagi memperluas akses pembayaran fidyah secara digital sekali gus memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berkenaan melalui platform yang digunakan secara meluas.

Melalui kerjasama itu, umat Islam kini boleh menunaikan fidyah menerusi aplikasi TheNoor atau Touch ’n Go sebagai saluran pembayaran alternatif manakala ikhlas.com berperanan sebagai platform pemudah cara ymenyokong pengurusan dan pelaksanaan pengagihan fidyah secara terancang selaras dengan prinsip syariah serta amalan kebajikan yang bertanggungjawab.

Bayaran fidyah yang diterima melalui kedua-dua platform tersebut akan diselaraskan menerusi program fidyah ikhlas.com dengan setiap sumbangan direkod dan dilaksanakan melalui aktiviti pengagihan yang dirancang.

Inisiatif itu turut disokong mekanisme pelaporan bersesuaian bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, keutamaan pihaknya adalah memudahkan pelaksanaan kewajipan tanpa membebankan pengguna.

“Melalui kerjasama dengan pelbagai platform digital, kami dapat memperluas capaian dan kemudahan di samping memastikan sumbangan fidyah diurus serta dilaksanakan secara tersusun, telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa berkata, TheNoor merupakan platform gaya hidup Islamik digital yang mengintegrasikan ibadah, ilmu dan impak sosial dalam satu ekosistem menyeluruh.

“Daripada waktu solat dan ciri al-Quran sehinggalah kepada zakat dan sumbangan kebajikan, TheNoor berusaha memudahkan ibadah harian melalui teknologi.

“Kami juga sedang bersedia memperkenalkan TheNoor Pro, satu pengalaman dipertingkatkan yang menawarkan penglibatan spiritual lebih mendalam serta perkhidmatan Islamik digital premium,” ujarnya.

Usahasama itu diumumkan sempena program pengagihan fidyah Amanah Fidyah: Sekampit Beras, Seribu Makna yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Ampang Indah hari ini.

Program berkenaan melibatkan pengagihan beras fidyah kepada 200 keluarga asnaf di sekitar zon Lembah Jaya sekali gus membuktikan peluasan akses pembayaran digital mampu diterjemahkan kepada impak komuniti yang nyata.

Inisiatif tersebut mencerminkan peranan kerjasama merentas platform digital dalam mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam melalui perluasan akses di samping menyokong pelaksanaan bertanggungjawab di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast