KUALA LUMPUR – Malaysia mengalami pertumbuhan pasaran buruh yang stabil pada suku tahun ini, disokong dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja pada Suku Tahun Keempat 2025 yang meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan yang mampan dalam permintaan buruh negara menunjukkan pertumbuhan berterusan tenaga kerja, mewujudkan asas ke arah transformasi ekonomi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Rancangan ini menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, dipacu oleh inovasi dengan fokus utama terhadap pertumbuhan tenaga kerja yang mampan, pewujudan jawatan baharu serta peningkatan kemahiran digital dan hijau.
Mohd Uzir berkata, negara merekodkan pertumbuhan permintaan buruh tertinggi sejak suku tahun pertama (ST1) 2024, meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun kepada 9.21 juta jawatan pada ST4 2025.
Permintaan buruh Malaysia terus berkembang pada ST4 2025 dengan bilangan jawatan dilaporkan adalah 9.21 juta, meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun (ST4 2024: 9.05 juta).
Perkembangan ini didorong oleh sokongan fiskal yang komprehensif daripada kerajaan yang bertujuan untuk merangsang aktiviti ekonomi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dasar.
Jawatan diisi menyumbang sebanyak 97.8 peratus daripada keseluruhan jawatan, manakala baki 2.2 peratus merupakan kekosongan jawatan.
Selain itu, terdapat 32,100 pewujudan jawatan baharu pada suku tahun ini.
Bilangan jawatan diisi telah meningkat secara konsisten kepada 9.02 juta, yang tertinggi direkodkan sepanjang siri, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus (ST4 2024: 8.86 juta).
Semua sektor menyumbang kepada pertumbuhan positif ini, didahului oleh sektor perkhidmatan pada kadar 2.6 peratus.
Sektor ini juga mendominasi jawatan diisi, menyumbang 53.1 peratus atau 4.80 juta jawatan diisi, diikuti oleh sektor pembuatan (26.9%: 2.42 juta) dan pembinaan (13.9%, 1.25 juta).
Mengikut kategori kemahiran, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar dengan 62.3 peratus (5.62 juta) manakala kategori mahir dan berkemahiran rendah masing-masing mencatatkan 25.3 peratus (2.27 juta) dan 12.4 peratus (1.12 juta).
Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai prestasi kekosongan jawatan, Mohd Uzir berkata, ia meningkat sebanyak 2.4 peratus (+4,600) tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan 198,100 kekosongan (ST4 2024: 193,600).
Melihat kepada komposisi mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan merekodkan bilangan kekosongan tertinggi iaitu 115.800 kekosongan (58.4%) terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (35,700) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (20,500).
Selain itu, sektor pertanian dan Perkhidmatan masing-masing merekodkan 32,000 (16.2%) dan 25,000 (12.6%) kekosongan.
Mengikut kategori kemahiran, lebih separuh daripada kekosongan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir, mencatatkan 56.2 peratus (111, 300).
Manakala, kategori mahir dan berkemahiran rendah merangkumi peratusan selebihnya, masing-masing dengan 24.6 peratus (48,700) dan 19.2 peratus (38,200). – MalaysiaGazette
















