KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Lembah Pantai tampil mempertahankan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini menerima tekanan daripada Bersatu di beberapa negeri supaya dipecat serta-merta.
Ketua Bahagiannya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sebarang cubaan untuk mengaitkan Hamzah dengan gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak adil dan tidak berasas.
Dakwanya, Hamzah tidak terlibat dalam gerakan itu dan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau adalah persepsi yang dibina bagi mencari kambing hitam.
Menurutnya, gesaan agar Muhyiddin berehat dan memberi laluan bukanlah gerakan individu atau konspirasi terancang, sebaliknya merupakan suara kolektif sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian dan kepimpinan bahagian masing-masing di seluruh negara.
Ujarya, perubahan itu digerakkan atas dasar realiti politik semasa dan demi memastikan Bersatu berada dalam posisi terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Gesaan supaya Muhyiddin Yassin berehat adalah dengan penuh hormat, supaya beliau dapat memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang akan berlangsung pada Mac ini.
“Ini bukan tindakan derhaka, bukan pengkhianatan, tetapi langkah strategik dan berhemah demi menjaga imej serta kestabilan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhamad Muqharabbin berpandangan kerosakan sebenar terhadap institusi Presiden datang daripada kelompok tertentu di sekeliling Muhyiddin yang terlalu taksub mempertahankan kedudukan sendiri.
Dakwanya, kelompok itu menyerang Hamzah dengan pelbagai tuduhan termasuk isu kekalahan di Sabah, sedangkan kegagalan dalam PRN Melaka dan Johor tidak pula dijadikan asas untuk mempersoalkan kepimpinan tertinggi.
“Jika ingin bercakap soal akauntabiliti, biarlah adil dan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan sekiranya polemik dalaman Bersatu berterusan dan menyebabkan Pas meninggalkan Perikatan Nasional (PN), maka adalah mustahil untuk Bersatu menang pada PRU-16.
Ujarnya, Bersatu perlu sedar sekiranya PN menang 80 kerusi sekali pun pada PRU-16, namun Muhyiddin perlu mendapatkan sokongan parti lain untuk menjadi Perdana Menteri dan perkara itu tidak akan berlaku sekiranya Pas menarik diri daripada PN.
“Bersatu bukan milik individu, ia milik ahli dan perjuangan.
“Jika Hamzah dipecat atas alasan yang tidak berasas, implikasinya bukan kecil. Rakan-rakan dalam gabungan termasuk Pas pasti akan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan perkembangan itu,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau mungkin akan menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin (LD) Bersatu susulan mempertahankan Hamzah, namun bersedia berdepan kemungkinan itu. – MalaysiaGazette
















