Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka menilai kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden dalam menangani kemelut dalaman parti itu telah mewujudkan persepsi negatif yang semakin melebar dalam kalangan ahli serta rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa situasi itu secara langsung menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan menjadikan prestasi perjuangan Bersatu kelihatan hambar serta rapuh.

Menurutnya, tindakan Lembaga Disiplin (LD) parti yang mengenakan hukuman keras sehingga mengakibatkan kehilangan beberapa tokoh pimpinan berpotensi memberi kesan besar kepada kekuatan parti.

Malah, dakwanya, Muhyiddin juga dilihat terdesak menggunakan saluran disiplin sebagai instrumen membungkam suara kritikal dalam parti.

“Keadaan ini menimbulkan kegusaran apabila ahli semakin merasakan hak bersuara demi kebaikan parti semakin terhakis.

“Secara kolektif, kami Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Melaka berpendirian bahawa parti ini memerlukan pembaharuan menyeluruh serta penstrukturan semula di peringkat pucuk pimpinan demi memastikan kelangsungan dan kekuatan perjuangan parti,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan empat pemimpin Bersatu Melaka iaitu Ketua Badan Pimpinan Negeri yang juga Ketua Bahagian Alor Gajah, Tan Sri Prof. Dr. Rahim Tamby Chik; Dr Mohd Yadzil Yaakub (Jasin); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Jeffri Ibrahim (Hang Tuah Jaya).

Kenyataan itu menambah, Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga disifatkan gagal mengurus kemelut di Perlis secara bijaksana sehingga menjadi titik penting keretakan hubungan dengan Pas.

Lebih membimbangkan, katanya, tindakan membiarkan pimpinan lantikan menyerang parti komponen secara terbuka bukan sahaja mencerminkan kelemahan pengurusan politik, malah bertentangan dengan semangat persefahaman dan kesepaduan dalam PN.

Ujarnya, akauntabiliti kepimpinan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN sekali lagi dipersoalkan apabila wujud kenyataan bercanggah berhubung isu pemansuhan jawatan Pengerusi PN, yang kemudiannya dinafikan secara terbuka oleh Pas.

“Sehingga kini, selepas lebih sebulan beliau menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, mesyuarat Majlis Tertinggi PN masih gagal diadakan,” katanya.

Tambahnya, ketika parti-parti lain giat memperjuangkan isu rakyat dan menawarkan solusi terhadap permasalahan negara, Bersatu dilihat terlalu terperangkap dalam polemik dalaman.

Katanya, parti itu semakin kehilangan hala tuju strategik, terputus daripada denyut nadi rakyat dan terperangkap dalam keghairahan dalaman yang berlebihan sehingga mengabaikan agenda perjuangan yang lebih besar.

Sehubungan itu, ujarnya, Bersatu wajar diberikan nafas baharu melalui penggantian pucuk pimpinan kepada barisan kepimpinan yang lebih dinamik, berintegriti, mesra rakyat, berwawasan serta berjiwa patriotik, di bawah teraju Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Pendirian ini dibuat dengan penuh tanggungjawab demi kelangsungan Bersatu, kestabilan PN serta masa depan perjuangan yang lebih diyakini oleh ahli dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast