KUALA LUMPUR – Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) menegaskan skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bukan sekadar warisan era kolonial, sebaliknya institusi strategik yang terus relevan dalam memperkukuh pentadbiran negara.
Presidennya, Datuk Dr. Awang Alik berkata, pihaknya mengambil maklum dan menghormati pandangan yang dikemukakan dalam artikel bertajuk “Time To Phase Out Colonial-Era PTD Scheme From Malaysia’s Civil Service” menerusi sebuah portal hari ini.
“PPTD sentiasa terbuka kepada pandangan yang konstruktif selaras dengan semangat reformasi berterusan bagi memperkukuh perkhidmatan awam negara.
“Ia telah berkembang menjadi institusi strategik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran, kesinambungan dasar, dan keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan negara.
“Sejak penubuhannya, PTD terbabit secara langsung dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar utama negara termasuk penyelarasan Rancangan Malaysia Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru serta pelbagai inisiatif transformasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keupayaan PTD menyelaras dasar merentas kementerian dan agensi menjadi kekuatan institusional penting bagi memastikan pendekatan keseluruhan kerajaan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Peranan PTD kekal relevan dalam mendukung aspirasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam tadbir urus negara.
“Pendekatan MADANI memerlukan penjawat awam yang berupaya berfikir secara strategik, menyelaras pelaksanaan dasar secara menyeluruh, serta memastikan keberhasilan yang memberi impak nyata kepada rakyat,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan struktur pentadbiran negara telah melalui transformasi besar menerusi sistem pengambilan kompetitif, latihan profesional berterusan dan budaya kerja berasaskan prestasi serta akauntabiliti.
“PPTD kekal komited menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memperkukuh kapasiti institusi negara dan memastikan perkhidmatan awam Malaysia terus relevan, berintegriti dan berprestasi tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















