KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, beliau tidak peduli dengan `ugutan’ mungkin dipecat kerana menghadiri sesi taklimat dan reset politik parti itu, sehari selepas pemecatan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah memilih untuk hadir demi menentukan hala tuju parti ke arah yang lebih baik meskipun ada pihak cuba menghalangnya untuk menghadiri sesi berkenaan.
“Hari ini ada sahabat minta saya tidak datang, bagi ucapan tetapi saya memilih untuk hadir dan berucap kerana saya yakin hidup ini adalah pilihan dan pilihan memerlukan pengorbanan.
“Jadi saudara-saudari jangan khuatir kerana kitalah yang sepatutnya menentukan ke mana parti ini patut pergi,” katanya ketika berucap yang disambut tepukan gemuruh hadirin.
Mas Ermieyati selanjutnya menyatakan, Bersatu pernah dianggap sebagi pengganti sewaktu beliau meninggalkan UMNO, namun hingga kini tidak diketahui kemana hala tuju parti berkenaan.
Ujarnya lagi, bukan mudah untuk berdiri `satu pentas’ dengan Hamzah yang baru sahaja dipecat, namun beliau memilih hadir dan memberi ucapan kerana apa sahaja tindakan yang dipilih memerlukan pengorbanan.
Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, Hamzah dipecat meskipun beliau sudah menghantar notis memohon penangguhan prosiding Lembaga Disiplin.
Semalam, media melaporkan, Hamzah tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya kerana berada di Sydney, Australia.
Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu. – MalaysiaGazette
















