KUALA LUMPUR – Sehari selepas dipecat keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengadakan taklimat bagi membincangkan hala tuju dan reset politik yang turut melibatkan sekumpulan pemimpin parti itu.
Perjumpaan tersebut dijadual berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini sekitar pukul 2 petang.
Dalam jemputan kepada media, taklimat tersebut turut melibatkan beberapa ahli Parlimen, ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.
Semalam, Hamzah dipecat keahlian partinya serta-merta hasil keputusan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan berkata, pemecatan berkuat kuasa semalam kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Hamzah semalam dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu berada di Sydney, Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding berkenaan. – MalaysiaGazette
















