Sukarelawan berpeluang menguji keadaan tanah.

KUALA LUMPUR – UM Soil Doctor Programme 2.0 (SOILID – Soil Improvement for Lasting Integrated Development) telah mengambil inisiatif membantu komuniti pesawah memahami isu tanah lembut secara lebih menyeluruh.

Program berteraskan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini berlangsung pada 2 dan 3 Januari lalu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, dengan penglibatan pelajar Tahun Kedua Program Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Tanjong Karang antara jelapang padi utama negara yang bertanah lembut.

Antara faktor utama yang sering dikaitkan dengan pembentukan tanah lembut termasuk perubahan cuaca yang sukar diramal, tempoh pengeringan tanah yang singkat, pengubahsuaian jentera yang tidak sesuai dengan keadaan tanah, serta amalan pengurusan penanaman yang tidak mematuhi jadual penanaman yang disarankan.

Faktor-faktor ini memberi kesan langsung terhadap kestabilantanah, produktiviti padi dan kecekapan penggunaan jentera.

Keunikan program ini terletak pada pendekatan pembelajaran dua hala yang menggabungkan ceramah kepakaran, sesi soal jawab, lawatan tapak sawah serta pameran pendidikan berkaitan pengurusan tanah yang mampan.

Para peserta diberi pendedahan mengenai konsep tanah lembut, kesan negatifnya terhadap pertanian padi, serta cadangan
kaedah mitigasi yang lebih lestari dan praktikal berdasarkan keadaan tempatan.

Selain itu, keunikan utama program ini juga terletak pada pendekatan perkongsian ilmu dua hala yang menggabungkan penerangan saintifik, pembangunan inovasi oleh pelajar Universiti Malaya serta aktiviti hands-on secara langsung bersama komuniti.

Antara aktiviti lapangan yang dijalankan ialah penentuan tahap tanah lembut menggunakan peralatan saintifik, iaitu Penetrologger, bagi mengukur kekuatan tanah sehingga kedalaman 80 sentimeter.

Para pelajar turut memperkenalkan tiga konsep inovasi selari dengan tema program, iaitu “Cabaran dan Penyelesaian Tanah Lembut”.

Konsep inovasi pertama menumpukan kepada pemahaman fundamental dan mekanisme tanah melalui penggunaan Modul UM Soil Doctor Programme yang dibangunkan oleh pelajar Universiti Malaya.

Konsep inovasi kedua melibatkan cadangan inovasi dalam aspek pengurusan pengairan dan mekanisasi bagi pengurusan tanah lembut, manakala konsep inovasi ketiga memberi fokus kepada pengurusan tanah lembut menggunakan inovasi sisa pertanian seperti biochar bagi meningkatkan tekstur dan kestabilan tanah.

Program SOILID membuka ruang kepada pelajar dan komuniti untuk membincangkan isu ini secara langsung melalui sesi ceramah kepakaran, perbincangan terbuka, lawatan tapak sawah dan pameran pendidikan.

Hasil bengkel dan perbincangan bersama komuniti mendapati  kawasan Tanjong Karang tidak menghadapi masalah serius dari segi sistem saliran, memandangkan kawasan ini mempunyai sistem pengairan yang baik serta saiz petak sawah yang terancang.

Bagaimanapun, aspek pengurusan penanaman yang lebih teratur serta penyesuaian terhadap perubahan cuaca dikenal pasti sebagai perkara yang perlu diberi penekanan bagi mengurangkan risiko tanah menjadi terlalu lembut.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Mohamed Fauzi Md Isa, program ini memberi pendedahan yang baik kepada pesawah dan pelajar mengenai faktor tanah yang mempengaruhi produktiviti
pertanian.

Perkongsian dapatan penyelidikan serta pengalaman lapangan membantu komuniti memahami punca sebenar masalah tanah lembut dan langkah penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan.

Sementara itu, Ahmad Luthfi bin Ismail, Timbalan Pengarah IADA Barat Laut Selangor berkata, pendekatan berasaskan pemindahan ilmu seperti ini amat relevan dalam menyokong pembangunan pertanian padi yang mampan.

Menurut beliau, peningkatan pengetahuan pesawah mengenai pengurusan tanah mampu menyumbang
kepada peningkatan hasil dan kualiti padi dalam jangka panjang.

Zulkarnain Haidzir, penduduk dan pesawah Kampung Blok AGH, menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang amat berharga. Beliau dapat memahami isu tanah lembut secara saintifik serta menilai inovasi yang dibawa pelajar Universiti Malaya.

Katanya, pendekatan tiga hala yang melibatkan komuniti, pelajar, dan agensi kerajaan memberikan penjelasan yang lebih jelas dan menyeluruh tentang cabaran serta penyelesaian tanah lembut.

Secara keseluruhannya, UM Soil Doctor Programme 2.0 – SOILID mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan sebenar komuniti.

Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pesawah terhadap isu tanah lembut, malah memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi penyelidikan dan komuniti setempat ke arah menjamin keselamatan makanan negara dan
kelestarian sektor pertanian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast