Tetamu kenamaan bersama tokoh budaya, ikon industri dan figura kulinari sempena pelancaran Cuti-Cuti Makan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan negara menerima suntikan segar apabila kepelbagaian makanan tempatan diangkat sebagai teras utama menerusi pelancaran Cuti-Cuti Makan Malaysia (CCMM).

Ia sebuah inisiatif yang menggabungkan elemen gastronomi, budaya dan komuniti dalam satu ekosistem menyeluruh.

Program berteraskan pelancongan makanan dan gaya hidup itu digerakkan oleh Miss Malaysia Kebaya dengan sokongan Tourism Malaysia sekali gus mencerminkan keseriusan pelbagai pihak dalam menjadikan makanan sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Damansara baru-baru ini menghimpunkan barisan tokoh budaya, ikon industri dan pemain utama kulinari tanah air memperlihatkan komitmen kolektif untuk memartabatkan masakan Malaysia ke pentas lebih luas.

Antara yang hadir termasuk Puan Sri Nisa Bakri, Chef Dr. Liza Zainol, Chef Erin Zainol, Leng Yein serta personaliti media, Boss Apai yang mewarnai acara dengan sokongan simbolik terhadap gerakan tersebut.

Pengerusi penganjur, Dr. Jason Hee menegaskan, CCMM bukan sekadar acara promosi sebaliknya sebuah platform jangka panjang yang dirangka untuk memperkukuh identiti budaya melalui makanan.

“Makanan bukan hanya untuk dinikmati tetapi membawa naratif sejarah, kepelbagaian kaum dan jati diri Malaysia. CCMM berperanan memperluaskan kisah ini agar dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha itu turut membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), cef tempatan serta pengusaha restoran untuk memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan daya saing industri.

“Kita mahu pelancong datang ke Malaysia dengan tujuan yang lebih bermakna – bukan sekadar melihat tempat menarik, tetapi menyelami pengalaman melalui rasa dan tradisi makanan,” ujarnya.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi memperkukuh ekonomi kreatif serta menyokong kelestarian industri pelancongan negara.

CCMM turut diperkasa melalui kerjasama bersama beberapa rakan strategik termasuk Advanced Integrative Wellness yang diterajui Ian Lim, First Pavilion Global Berhad di bawah kepimpinan Kym Sit May serta Paul Wong selaku Advocator Pembangunan Strategik Pelancongan Kreatif Malaysia–China.

Gabungan sektor swasta dan pemain industri kreatif itu diyakini mampu memperluas capaian CCMM ke pasaran serantau, khususnya dalam mempromosikan keunikan gastronomi Malaysia.

Sebagai inisiatif berterusan, CCMM merancang pelbagai program seperti jelajah negeri, kolaborasi media, pameran cef, festival makanan serta penglibatan komuniti setempat bagi memastikan impaknya bersifat inklusif dan mampan.

Dr. Jason menjelaskan, platform itu direka sebagai ekosistem berkembang yang menghubungkan budaya, gaya hidup dan komuniti merentasi negeri serta membuka peluang sinergi antarabangsa.

“CCMM tidak bersifat bermusim. Ia satu gerakan yang hidup dan sentiasa berkembang, membawa nilai warisan serta inovasi dalam satu rangka kerja yang tersusun,” katanya lagi.

Bersempena pelancaran tersebut, restoran Grandmama’s turut memperkenalkan Bufet Iftar Ramadan bertemakan ‘Sajian Nenda’ yang diinspirasikan daripada resipi tradisional sebagai penghargaan kepada warisan kulinari tempatan.

Antara hidangan istimewa yang ditawarkan termasuk Kambing Golek, Daging Salai Wagyu Masak Lemak Cili Api, Mi Kari Udang Galah serta aneka pencuci mulut klasik Melayu yang membangkitkan nostalgia rasa kampung.

Bufet ‘Sajian Nenda’ akan berlangsung dari 23 Februari hingga 17 Mac 2026 di semua cawangan Grandmama’s, manakala majlis berbuka puasa korporat dijadualkan di Pavilion Arena bermula 2 hingga 15 Mac depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast