BALIK PULAU – Kira-kira 8.1 juta rakyat yang layak sudah menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan membabitkan perbelanjaan hampir RM780 juta setakat Jumaat lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu membabitkan penebusan sepanjang dua hari sejak bantuan berjumlah RM100 itu dikreditkan dalam MyKad semua rakyat tanpa mengira pendapatan pada 9 Februari lalu.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan adalah memberi peluang kepada semua rakyat menikmati SARA selain memperluaskan kategori barangan yang boleh dibeli di bawah program itu.
“Saya tengok data sehingga Jumaat lalu, SARA untuk semua yang kerajaan bagi RM100 itu, penerimaannya amat baik sekali dan ia terbukti apabila lebih kurang 8.1 juta orang telah menebus SARA dengan perbelanjaan hampir RM780 juta.
“Jadi, kalau kita tengok pendekatan yang kita ambil ialah untuk memberi peluang untuk semua orang menikmati SARA ini dan kita juga telah melebarkan kategori barangan yang boleh dibeli seperti barangan sejuk beku, jadi bagi kategori itu pun kita nampak penerimaannya baik sekali,” katanya ketika ditemui pada sesi turun Kampung Angkat Madani di Pulau Betong di sini.
Mengulas lanjut mengenai lebihan daripada SARA yang tidak ditebus, Amir Hamzah berkata, lebihan peruntukan daripada SARA yang tidak digunakan akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui program bantuan kepada golongan rentan.
“Saya rasa kadang-kadang kita tahu dalam dalam pendekatan kerajaan, kita bagi SARA ni untuk semua tapi mereka yang mungkin dah ada kemampuan sendiri, mereka tak pakai SARA.
“Macam saya tahun lalu, saya tak pakai, lebihan yang kita ada kerana orang tak pakai, kita pulangkan juga kepada rakyat untuk mereka yang lebih terbeban.
“Seperti saya umumkan dalam Parlimen tempoh hari, RM150 juta dipulangkan untuk program-program khusus golongan rentan termasuklah orang OKU, untuk memberi peralatan untuk peranti perubatan untuk mereka yang ada klinik kronik illness dan juga area-area ni yang kita rasa lebih baik kalau ada lebihan kita pulangkan kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menyalurkan SARA kepada lebih 22 juta pemegang MyKad dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion.
Warganegara Malaysia dewasa dapat memanfaatkan kredit one-off RM100 SARA sehingga 31 Disember tahun ini.
Diminta mengulas hala tuju bantuan tunai pada masa depan, Amir Hamzah berkata, kerajaan telah membuat pembaharuan subsidi sepanjang tiga tahun kebelakangan ini termasuk pengurangan ketirisan bagi diesel dan petrol dan penjimatan tersebut diagihkan kepada perkara yang lebih penting kepada rakyat.
Beliau berkata, peruntukan untuk SARA dan STR kini meningkat kepada RM15 bilion berbanding RM6 bilion semasa BR1M dan RM8 bilion pada era Keluarga 1Malaysia.
“Program Rahmah pula, belanjawan RM1 bilion, memberi peluang rakyat membeli barangan pada harga lebih murah di setiap DUN, tiga kali sebulan.
“Kerajaan juga menaikkan gaji minima daripada RM1,200-RM1,500 kepada RM1,700, sementara penjawat awam menerima pelarasan gaji dua kali dalam tempoh dua tahun dengan purata 15 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette
















