PONTIAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permintaan Johor supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini boleh dirundingkan secara baik.
Menurut Perdana Menteri, ketika ini Johor menerima peruntukan yang paling tinggi daripada perbelanjaan kerajaan Persekutuan yang digunakan untuk pelbagai keperluan rakyatnya.
“Peruntukan yang diperoleh digunakan untuk (pembinaan dan naik taraf) lebuh raya, pelabuhan dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Itu semua perbelanjaan kerajaan Persekutuan… rundinglah dengan baik (permohonan itu).
“Apa yang penting adalah rakyat dapat kebajikan sepenuhnya. Wang (kerajaan) Pusat atau wang (kerajaan) negeri, ini semua teknikal, it’s doesn’t matter, apa yang paling penting wang sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Pontian di Dataran Pontian di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Anwar berkata, perkara penting adalah projek-projek untuk rakyat itu tidak berlaku ketirisan atau ‘bocor’.
Tegas beliau, projek untuk rakyat itu perlu diproses menerusi tender dengan betul dan dilaksana dengan cekap supaya manfaatnya akan dapat dinikmati rakyat.
Menurut beliau, Kerajaan Madani tidak akan bertolak ansur dengan ketirisan dan juga akan menerima kritikan.
“Memang dihentam, memang disamun, saya tak peduli. Selagi kita dapat amanah, jalankan pentadbiran negeri ini dengan bersih dan cekap untuk faedah rakyat,” katanya.
Terdahulu Onn Hafiz ketika berucap memohon kerajaan Persekutuan menimbangkan permohonan tersebut yang sebelum ini disuarakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada 22 Julai lalu, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan tanpa terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), serta kelewatan projek tebatan banjir negeri.- MalaysiaGazette
















