Meor Naqiuddin Shamsudin

KUALA LUMPUR – Unsur sabotaj di platform media sosial, Facebook (FB) rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mendedahkan kelemahan dalam pengurusan kepimpinan parti tersebut.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Meor Naqiuddin Shamsudin berkata, kejadian itu berpunca daripada kegagalan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan Bersatu.

Beliau menegaskan, situasi berkenaan turut memperlihatkan kelemahan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menilai dan melantik individu bagi jawatan berkenaan.

“Ini bukti jelas Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan tidak mampu memainkan peranannya. Tindakan menukar Ketua Penerangan bukan lagi pilihan, Tan Sri sendiri perlu berundur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tun Faisal dalam satu kenyataan mendakwa laman FB Bersatu diceroboh dan memuat naik kandungan tidak sah, tidak mewakili pendirian rasmi parti dan dibuat tanpa kebenaran kepimpinan bagi menyerang parti dan pemimpin.

Berikutan itu, satu laporan rasmi dibuat kepada pihak Facebook (Meta) bagi tujuan pemulihan segera akses halaman rasmi parti, selain aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan satu laporan polis untuk siasatan jenayah.

Tambah Tun Faisal, tindakan itu dipercayai membabitkan kesalahan jenayah mengikut beberapa undang-undang, antaranya Akta Jenayah Komputer 1997 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain Seksyen 233 akta sama iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Mengulas lanjut, Meor Naqiuddin berkata peranannya sebagai pentadbir FB rasmi Bersatu, yang didakwa dihentikan secara tiba-tiba apabila namanya dikeluarkan daripada senarai pengendali laman tersebut kelmarin.

Katanya, beliau memikul tanggungjawab itu sejak 2023 tanpa sebarang alasan diberikan sebelum dilantik semula pada hari yang sama, namun sekali lagi disingkirkan pada awal pagi tadi.

Media melaporkan terdapat empat individu disyaki terbabit dalam tindakan sabotaj akaun FB rasmi Bersatu ketika konflik kepimpinan parti memuncak susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin kelmarin.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid dilaporkan berkata, empat individu terbabit dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Hamzah yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Selain itu, mereka didakwa mempunyai akses kepada kandungan, mesej, panggilan, aktiviti komuniti, iklan, analitik serta keupayaan memberi kebenaran dan memadam halaman FB rasmi Bersatu termasuk hubungan dengan bekas Ketua Armada dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast